Sabtu, 12 Disember 2015 | 4:01pm

331 terima darjah kebesaran, bintang negeri Perak

SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim. - Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat kepada 331 penerima.

Mereka adalah antara 702 individu yang disenarai sebagai penerima darjah, kebesaran, pingat dan bintang bersempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah yang disambut pada 27 Nov lepas, iaitu yang pertama kali disambut selepas pertabalan baginda sebagai Sultan Perak XXXV.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berangkat ke istiadat pengurniaan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini.

Mendahului senarai penerima pada istiadat pengurniaan siri kedua ialah Ketua Protokol dan Istiadat, Bahagian Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan Negeri Superintenden Abu Bakar Romlee yang menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).

Tujuh lagi penerima PCM ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Dr Amiruddin Muhamed, Ketua Pegawai Ekskutif Perbadanan Kemajuan Ekonomi dan Pembangunan Islam Perak (PKEINPk) Mohamad Tarmizi Taib, Pengarah Komunikasi kepada Menteri Besar Perak, Nizamuddin Mat Isa, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansor, Ketua Unit Pendakwaan Perak Yusaini Amer Abdul Karim dan Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim.

Sultan Nazrin turut mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 20 penerima, antaranya Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Basri Jasmo dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ramli Awang Seberang.

Baginda turut mengurniakan Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada tujuh penerima termasuk Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Ahmad Mat Isa dan Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mohd Nor Rasid.

Sultan Nazrin Shah turut mengurniakan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada Ketua Biro The Star Perak, Loh Hao Wen, dan 88 penerima lain.

Sementara itu, 104 individu dikurnia Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 99 dianugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) manakala empat lagi menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PIP). - BERNAMA

Berita Harian X