Ahad, 13 Disember 2015 | 7:28pm

Nelayan Pulau Pinang bantah cadangan tambakan laut


SERAMAI 1,500 nelayan menyertai bantahan secara aman terhadap Cadangan Tambakan Laut pada perairan sekitar Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul di Jetty Nelayan Sungai Batu, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Kira-kira 1,500 nelayan di Pulau Pinang Selatan mengadakan demonstrasi aman membantah cadangan penambakan laut di perairan Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul, dekat sini hari ini.

Kumpulan nelayan itu mahu kerajaan DAP Pulau Pinang mengkaji semula cadangan projek berkenaan yang didakwa bukan sahaja menjejaskan mata pencarian mereka, malah memberi kesan kepada hidupan laut di situ.

Wakil kumpulan nelayan itu Arshhad Omar, 63, berkata kerja penambakan laut berkenaan akan menyebabkan tempat pembenihan ikan dan udang terjejas serta mengganggu habitat hidupan laut.

"Banyak pembangunan di darat boleh dibangunkan tetapi kenapa perlu sampai ke laut. Projek penambakan laut ini sudah tentu akan menjejaskan mata pencarian kami sebagai nelayan yang rata-rata mempunyai keluarga yang perlu disara.

"Kita buat bantahan ini adalah untuk menegakkan hak sebagai nelayan dan mempertahankan keadaan laut dan pantai ini," kata Arshhad ketika ditemui pemberita selepas demonstrasi itu di Pantai Sungai Batu, Teluk Kumbar dekat sini.

Terdahulu, kumpulan itu yang terdiri daripada 14 persatuan nelayan kawasan selatan negeri ini yang merangkumi Pengkalan Sungai Pinang, di sini hingga Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau dekat sini mengadakan demonstrasi selama sejam bagi membantah cadangan projek berkenaan.

Arshhad berkata, pihaknya tidak pernah sesekali membantah mahupun menolak sebarang projek pembangunan di negeri ini namun apabila ia melibatkan periuk nasi nelayan, perkara itu harus diberi perhatian serius.

Seorang lagi nelayan dari Persatuan Nelayan Teluk Kumbar, Yahya Che Lah, 63, berkata projek penambakan laut itu bukan sahaja memberi impak negatif terhadap ekosistem laut, malah turut mendatangkan risiko kepada nelayan kecil yang terpaksa keluar ke laut terbuka untuk menjala ikan.

"Jadi saya harap kerajaan negeri kaji betul-betul cadangan projek ini dengan mengambil kira nasib nelayan di sini," katanya sambil menambah jika projek itu tetap diteruskan, peralatan seperti bot, pukat dan jala terpaksa ditempatkan di kawasan yang lebih jauh, sekali gus mengundang risiko dicuri.

Mohd Shariff Mohd Tamby, 68, pula berkata, kerajaan negeri perlu memberi fokus dalam hal berkaitan penempatan baharu bagi nelayan terbabit supaya dilengkapi dengan prasarana yang lebih baik agar kebajikan mereka terjamin.

"Jangan disebabkan projek ini, kami yang jadi mangsa," katanya. - BERNAMA

108 dibaca
Berita Harian X