Isnin, 14 Disember 2015 | 10:05am

Bursa Malaysia contoh peneraju tadbir urus korporat

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan.

PENGALIRAN keluar dana asing daripada pasaran saham tempatan baru-baru ini menimbulkan kebimbangan terhadap kedudukan pasaran saham tempatan. Ramai beranggapan kedudukan pasaran ekuiti negara sudah goyah susulan pengaliran keluar dana asing secara berterusan itu.

Namun, pengurusan tertinggi pengendali bursa tempatan mempunyai perspektif berbeza mengenai perkara itu. Ikuti temu bual eksklusif wartawan BH, Mahanum Abdul Aziz bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan yang mengulas mengenai prestasi pasaran saham tempatan dalam tempoh enam tahun lalu serta berkongsi pengalamannya mengendalikan bursa tempatan sejak memegang jawatan itu pada 2011.

S: Prestasi pasaran dalam tempoh enam tahun lalu sejajar dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan mungkin boleh tumpukan dalam 12 bulan lalu berkaitan keadaan ekonomi semasa?

J: Ini adalah dua muka surat prestasi kewangan (sambil menunjukkan carta dan graf yang menunjukkan prestasi pasaran dalam tempoh 2009 hingga 30 November 2015). Ini adalah cerita saya. Semasa program Invest Malaysia di New York (IMNY) tahun lalu bursa telah mengadakan majlis pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan pengurus dana asing. Kami telah mempermudahkan statistik yang menunjukkan prestasi pasaran saham yang dicatatkan dalam tempoh enam tahun lalu supaya Perdana Menteri, boleh memahami dan mengingati fakta penting berhubung prestasi itu dalam tempoh singkat.

Daripada 2009 hingga 2015, pasaran berkembang secara keseluruhan berdasarkan tiga proksi utama pasaran saham iaitu indeks, permodalan pasaran dan Nilai Purata Harian (ADV). Anda tidak boleh mengukur prestasi Bursa Malaysia hanya dengan satu ukuran, terdapat banyak proksi lain. Salah satu daripada proksi itu ialah anda mempunyai indeks yang meningkat sebanyak 91 peratus dan permodalan pasaran juga meningkat sebanyak 151 peratus.

Seterusnya, semua ADV yang mengukur prestasi bursa bertambah daripada RM1.1 bilion kepada RM2.0 bilion, yang mencatatkan pertumbuhan 78 peratus dalam tempoh 2009 sehingga November 2015. Secara ringkasnya, Perdana Menteri telah menarik perhatian pengurus dana dengan berkongsi carta bar ini: indeks meningkat 91 peratus, permodalan pasaran meningkat 151 peratus, ADV bergerak sebanyak ini (RM1.1 bilion ke pada RM2.0 bilion) dan pegangan asing meningkat 1.7 peratus dan ini adalah fakta dan angka terkini. Bursa adalah salah satu proksi utama kepada ekonomi. Jika ekonomi mencatatkan prestasi baik, pasaran saham akan mencatatkan prestasi baik. Prestasi pasaran saham bergantung kepada beberapa perkara. Pertama ialah dasar kerajaan, kedua ialah pengaktifan dasar yang mencerminkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta. Jadi, yang menyokong perkara ini ialah ETP.

Dalam kalangan bursa di ASEAN, kami adalah satu-satunya yang mempunyai program bertema, program yang jelas untuk memacu ekonomi Malaysia. Memang pada ketika itu, biasalah, setiap kali kita memperkatakan sesuatu pasti ada yang membangkang, ada yang mengatakan masalah di Malaysia adalah banyak pengumuman tetapi kurang penyampaian, namun kami mengambil itu sebagai satu cabaran. Pada ketika itu, Singapura, Thailand dan Filipina tidak mempunyai kisah holistik untuk diceritakan.

Jadi, kami mengetengahkan kisah holistik kita termasuk ETP dan bagaimana ia memberi manfaat kepada syarikat kita (syarikat Malaysia). Sesungguhnya, sektor swasta di negara ini sama ada mereka suka atau tidak, mereka telah meraih manfaat daripada program yang dilaksanakan. Tahun ini, kami juga membawa kisah yang sama tapi sudah dikemaskini. Hanya yang membezakan tahun ini ialah, saya berkata kepada Perdana Menteri, "noise" sangat kuat. Beliau faham maksud "noise" yang saya maksudkan.

Antara berita menjadi tumpuan adalah penjualan besar-besaran oleh dana asing. Jadi, apa yang kami ada adalah carta yang menunjukkan apa yang berlaku dalam pasaran modal. Walaupun pasaran ekuiti untuk 18 bulan lalu menunjukkan aliran keluar bersih tetapi pada keseluruhannya, dari 2010 hingga 30 November 2015 ianya mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM9.4 bilion. Saya membentangkan perkara ini kepada Jawatankuasa Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri. Kami menyedari dalam tempoh tiga bulan lalu, (pasaran) sudah agak stabil. Kita sebenarnya mencatatkan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM9.4 bilion. Perangkaan semasa dana asing berdasarkan permodalan pasaran menunjukkan kira-kira 22.1 peratus.

Dana asing terbahagi kepada dua. Pertama, dana yang dilaburkan untuk tujuan perdagangan dan satu lagi membabitkan pegangan strategik oleh dana asing untuk tempoh jangka panjang seperti Nestle, BAT, DiGi dan lain-lain lagi. Jumlah saham yang dipegang mereka lazimnya kekal stabil. Apa yang ingin saya buktikan dan nyatakan di sini ialah angka yang bergerak membabitkan dana yang dilaburkan untuk tujuan perdagangan, yang mana untuk sesetengah keadaan tertentu ia berkait dengan pengurangan kuantitatif (QE). Namun begitu, pegangan keseluruhan dana asing kekal pada paras yang sama. Pengurangan hanya 1.7 peratus daripada paras tertinggi. Dari segi agregat, pegangan asing meningkat sejak 2010.

S: Malaysia dan ASEAN, mereka menjual ASEAN sebagai satu pasaran, lebih mudah untuk dijual?

J: Pasaran saham Malaysia berkembang seiring dengan ETP dan ini adalah kekuatan yang sudah ada. Kita menjadi contoh sebagai peneraju dalam tadbir urus korporat. Seperti anda sedia maklum kita telah berdepan keadaan teruk pada 1997/1998, dan China kini sedang berdepan situasi sama. Tidak ada sesiapa yang mempercayai angka kita dulu, tetapi kini angka kita lebih baik. Kita terus mencatatkan kemajuan sejak 1997/1998 melalui tadbir urus korporat dan kita telah berjaya membangunkan budaya ini dalam kalangan syarikat kita. Bursa Malaysia berusaha membawanya ke peringkat yang lebih tinggi. Sehubungan itu, banyak aktiviti tahun ini cenderung kepada program kemapanan.

Dalam tempoh 12 bulan lalu, kita telah dan terus mempertingkatkan program kemapanan. Kami menganjurkan dua forum kemampanan antarabangsa, memperkenalkan Indeks FTSE4Good tahun lalu dan menyertai inisiatif kemampanan pengendali bursa. Kami memeterai deklarasi sebagai pengendali bursa yang mempengaruhi lebih 900 syarikat. Kami berharap semua 900 syarikat dapat meneruskan agenda kemampanan ini. Detik bermakna untuk kami ialah apabila diiktiraf sebagai syarikat kelima terkemuka ASEAN dalam tadbir urus korporat yang diadakan di Manila. Ini adalah kali pertama kami mendapat pengiktirafan sebegini. Bukan anugerah yang kami mahukan tetapi yang lebih penting ialah menjadi model yang dapat dicontohi dan seterusnya dapat mempengaruhi syarikat lain di dalam tadbir urus korporat.

Dalam Laporan Daya Saing 2014/2015 yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia menyaksikan kita antara keempat terbaik untuk pembangunan pasaran kewangan, tempat kelapan dalam menjana modal, menduduki tangga ke-13 di dunia dari segi kawal selia pasaran modal yang baik. Jadi, itu adalah cadangan nilai yang perlu dibangunkan sebelum kita menjualnya. Kita juga mempunyai penanda aras dunia dalam kontrak hadapan Minyak Sawit Mentah (MSM).

S: Apa yang membuatkan anda berjaga pada malam hari dengan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia?

J: Mengendalikan bursa adalah sangat menarik. Ramai orang bertanya dengan saya soalan ini dan hari ini saya akan menjawab soalan itu. Saya bangun awal dan tidur lambat, itu adalah tabiat saya. Saya menjadi peniaga (saham) selama 17 tahun. Masa saya bermula awal pagi waktu Tokyo dan berakhir sekitar 12 atau jam satu pagi Jumaat mengikut masa New York. Saya sentiasa bersiap sedia dan aktif. Sebenarnya, ramai berfikir menerajui Bursa adalah mudah. Sebenarnya, adakah anda tahu, kami mengendalikan sistem padanan terbesar dan terpantas di negara ini. Sistem yang kami ada mengalahkan semua sistem padanan atau sistem dagangan (saham) dari segi jumlah dan kelajuan di negara ini. Ia memang pantas dan amat laju. Bagi saya, ia seolah-olah menguruskan syarikat teknologi dan juga syarikat pemantauan. Saya juga menguruskan operasi dan pemasaran.

Dari segi pemasaran, anda pernah mendengar kami membuat promosi di peringkat domestik dan serantau. Kami amat fokus di dalam pemasaran dan penjenamaan. Kita mempunyai kisah mengenai ASEAN, produk kita, produk berlandaskan Syariah, dan kemudian baru masuk ke bahagian pemantauan. Sebelum kita berbicara mengenai pemantauan, kita bercerita mengenai bahagian dagangan yang sangat menarik. Seawal jam empat pagi, kakitangan saya sudah berada di pejabat. Menjelang enam pagi, mereka mesti memastikan semuanya berjalan lancar. Pada jam tujuh pagi, mereka akan membuat ujian kemantapan sistem bagi memastikan sistem sudah bersedia untuk menjalankan aktiviti dagangan saham.

Ujian kemantapan sistem itu juga bagi memastikan menjelang jam 8.30 pagi sehingga 9.00 pagi, iaitu pra-pembukaan dimulakan dan 9.00 pagi aktiviti dagangan bermula sepenuhnya. Yang menariknya dalam tempoh antara 8.30 pagi sehingga 9.00 pagi, banyak tempahan belian berlaku yang mana menyaksikan harga purata dipadankan. Ini semua boleh dibuat dengan pantas dalam masa kurang daripada satu saat. Seterusnya, jam 9 pagi adalah dagangan sebenar sehingga 12.30 tengah hari. Kami tidak menghentikan sistem tetapi merehatkannya sehingga jam 2 petang. Ujian kemantapan sistem dilakukan sebelum pra-pembukaan yang bermula jam 2 petang sehingga 2.30 petang. Kemudian, aktiviti dagangan sebenar bermula sehingga jam 5 petang. Apa yang membimbangkan adalah sesuatu terjadi ketika dagangan sebenar berlangsung. Saya berharap ini tidak akan berlaku.

S: Kenapa kegagalan sistem boleh berlaku?

J: Kegagalan sistem boleh berlaku kerana ia berjalan secara langsung dan menyokong banyak benda. Sebarang kemajuan atau sebarang pepijat boleh mengganggu perjalanan sistem. Sistem akan diselenggara pada hujung minggu bagi menjamin kemantapan operasinya. Kadang-kadang, gangguan yang berlaku bukan disebabkan sistem dagangan, ianya berkaitan perkara lain seperti data, informasi dan sebagainya. Kami sebenarnya mempunyai tiga sistem iaitu sistem dagangan ekuiti yang bermula jam 9 pagi sehingga 5.50 petang, derivatif (8.15 pagi sehingga 7 petang) dan berlandaskan Islam (Ahad hingga Jumaat sebab mengikut masa Asia Barat).

S: Sebaik saja semua sistem berjalan lancar, apakah peranan selanjutnya sebagai pengendali bursa?

J: Sebaik saja semua sistem berjalan lancar, bahagian kedua ialah berkaitan pemantauan. Kami memantau aktiviti dagangan bagi memastikan pasaran berjalan secara teratur dan adil untuk semua. Pada masa sama, kami perlu pastikan aktiviti luar biasa seperti peningkatan dan kejatuhan mendadak secara ketara perlu diredakan dengan mengenakan paras had tertentu seperti had tinggi 30 peratus dan had jatuh 30 peratus dan litar putus jika pasaran jatuh mendadak dengan teruk. Program pemantauan ini berterusan sepanjang hari, dapat mengenal pasti pelbagai perlakuan dalam aktiviti dagangan seperti spekulasi sebenar, masalah salah tertekan belian dan jualan dan sebagainya.

Bahagian ketiga pula ialah operasi. Bila anda berurusniaga, pasca dagangan perlu diselesaikan yang membabitkan proses depositori dan penyelesaian. Bahagian keempat pula adalah mengenai promosi, pemasaran yang merangkumi operasi dan pengendalian bursa dalam seharian. Kemudian memasuki bahagian paling penting iaitu pembangunan. Ketika ini perkara utama kami lihat dan paling penting buat kami ialah bidang pertumbuhan. Yang pertama, adalah teknologi. Saya rasa Bursa Malaysia sudah melaksanakan pendigitalan dan e-CDS, e-penyata dan kini boleh membuka akaun secara elektronik. Sebenarnya anda boleh menghantar borang secara elektronik, bukan sepenuhnya tetapi untuk bahagian permulaannya.

Perkara lain pula ialah, bagaimana kami bergerak dan berkembang daripada cara tradisional. Oleh sebab itu, perdagangan internet berkembang dengan baik dari segi jumlah. Bahagian ketiga ialah mendekati golongan muda atau milenium. Malaysia adalah salah satu negara yang mempunyai golongan mudah terbesar dari segi peratusan. Untuk mendekati golongan muda, kami perlu melabur di dalam bidang digital. Kami telah melabur dalam jumlah yang besar untuk membangunkan Bursa Marketplace untuk golongan muda. Bagi membangunkan budaya melabur, kami perlu menggalakkan pendidikan kepada kumpulan ini. Golongan Bumiputera terutamanya kurang mempunyai budaya melabur. Anda tidak boleh menyalahkan mereka kerana mereka dimanjakan dengan pilihan pelaburan lain.

S: Anda sudah menjadi peniaga saham, anda menjadi pengurus bank dan kini menjadi peneraju bursa. Jadi, jika diberi pilihan, yang mana satu menjadi pilihan?

J: Semuanya dalam kewangan, tetapi apa yang boleh saya katakan, jika anda bertanya kepada saya sama ada saya akan kembali menjadi peniaga saham, saya rasa saya boleh. Saya pernah bekerja dalam tukaran mata wang asing dan kemudian beralih mengendalikan bilik dagangan, membuat bon tempatan dan asing, pasaran wang dan saya adalah kumpulan pertama yang memperkenalkan dagangan derivatif dan dagangan hadapan. Jadi, semuanya sudah lengkap. Di samping itu, sejak menguruskan dana bank, saya juga terbabit dalam pasaran saham. Pasaran saham memberi pulangan yang lebih baik berbanding bon. Saya bermula dengan mata wang, saya juga pernah menjadi pegawai yang menguruskan akaun semasa di Johor Bahru. Selepas itu saya berhenti dan beralih kepada bahagian korporat, saya melakukan penstrukturan semula aset. Saya pernah menjadi CEO Bank Simpanan Nasional dan Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Pengarah Urusan, RHB Capital Bhd. Semuanya dalam bidang kewangan. Apa yang membanggakan saya ialah saya terbabit di dalam bidang kewangan dan transformasi.

Macam sewaktu saya datang ke Bursa Malaysia, saya melihat kepada carta dan statistik, mengapa statistik Bursa Malaysia seperti ini. Mesyuarat pertama dengan mereka (kakitangan Bursa Malaysia) menjadi sedikit kejutan. Saya telah melukis carta dan berkata adakah mungkin carta kita boleh menjadi begini (45 darjah peningkatan dalam pendapatan). Dari segi prestasi kewangan, Bursa sudah meningkat, sejajar dengan pertumbuhan pasaran modal kita. Pada suatu ketika dulu, permodalan pasaran berjumlah RM280 bilion. Kini pada masa tertentu mencecah RM1.7 trilion dan kini mencecah RM1.6 trilion. Bila orang bertanya kepada saya, dengan dana asing keluar daripada pasaran, apa berlaku kepada pasaran. RM24 bilion keluar. Jika RM24 bilion dengan jumlah permodalan pasaran sekitar RM280 bilion, kedudukan adalah goyah tetapi kini permodalan pasaran mencecah RM1.7 trilion berbanding dana keluar RM24 bilion, ia hanya kurang daripada lima peratus. Jadi adalah penting untuk meningkatkan saiz pasaran. Ini apa yang kami capai. Dengan pemberian dividen secara konsisten kepada pelabur kami (Bursa Malaysia). Dasar dividen kami ialah lebih 75 peratus, tetapi kami memberikan lebih 95 peratus.

Ikuti bahagian akhir temu bual ekslusif bersama CEO Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan, esok.

Berita Harian X