Isnin, 14 Disember 2015 | 11:45am

Pentaksiran Berasaskan Sekolah mula diterima - Mahdzir Khalid

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Muhd Asyraf Sawal
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Muhd Asyraf Sawal

CYBERJAYA: Ibu bapa sudah mula menerima dengan baik pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) termasuk Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) selepas dua tahun ia dilaksanakan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sebelum ini, ibu bapa sudah terbiasa dengan peperiksaan berpusat yang sudah dilaksanakan selama 17 tahun, termasuk melalui Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ada segelintir ibu bapa yang ragu-ragu dengan pelaksanaan PBS.

"Ketika ini, kita lihat sudah ada peningkatan dari segi penerimaan terhadap PBS ini dalam kalangan ibu bapa.

"PBS ini memberi penilaian terhadap murid dalam banyak aspek termasuk psikometrik, disiplin, sukan, kesihatan dan kokurikulum," katanya kepada media di sini, pagi ini.

Beliau sebelum itu menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara (MoU) antara Multimedia Development Corporation (MDeC) dan International Society for Technology in Education (ISTE) bagi pembangunan persekitaran teknologi pendidikan mapan.

Berita Harian X