Isnin, 14 Disember 2015 | 2:19pm

Biotechcorp umum pelaburan baharu tahun depan

NUSAJAYA: Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCrop) melalui syarikat usaha samanya, Malaysian Bio-Xcell Sdn Bhd, akan mengumumkan pelaburan baharu berasaskan penggunaan sumber dari industri kelapa sawit pada suku pertama tahun depan.

Ketua Pegawai Operasinya, Razwin Sulairee Hasnan Termizi berkata, perbincangan mengenai pelaburan itu kini memasuki peringkat akhir bagi memuktamadkan pelbagai perkara termasuk reka bentuk produk.

"Ia adalah satu pelaburan yang besar dan akan diumumkan Bio-XCell pada penggal pertama tahun depan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Purple Fiesta di pejabat Bio-Xcell di sini hari ini.

Sekarang ini, BiotechCrop difahamkan sudah mengenalpasti tiga negeri yang akan menjayakan pelaburan itu, iaitu Johor, Pahang dan Sabah kerana masing-masing adalah pengeluar utama kelapa sawit.

"Bagi Johor, ia berada pada kedudukan yang baik kerana sudah mempunyai bahan mentah dan sokongan aplikasi yang mencukupi untuk membangunkan sumber kelapa sawit kepada produk bahan kimia baharu bagi menggantikan sumber petroleum," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X