Khamis, 9 Oktober 2014 | 1:21pm

Kelayakan Euro 2016: Aksi di Perancis setaraf Piala Liga Juara - Bale

LONDON: Gareth Bale percaya kejayaan Wales untuk layak ke Euro 2016 di Perancis boleh dianggap setaraf kejayaan Real Madrid yang menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu.

Wales tidak pernah beraksi di kejohanan besar dunia sejak kali terakhir layak ke pusingan akhir Piala Dunia pada 1958.

Ia dianggap badi paling besar buat Wales yang sentiasa dikuatkan dengan barisan pemain hebat seperti Ryan Giggs, Mark Hughes dan Ian Rush namun segala cubaan mereka untuk layak berakhir hampa.

Dan penambahan pasukan di Kejuaraan Eropah atau dikenali Euro pada edisi 2016 kepada 24 pasukan (berbanding 16) memberi peluang terbaik buat Bale dan rakan sepasukannya untuk beraksi di kejohanan elit benua itu.

"Ia berada di tahap yang sama dengan (Liga Juara-Juara Eropah) dan saya berharap kami dapat melakukannya," kata Bale kepada BBC.


AKSI bintang Wales, Gareth Bale (kanan) ketika aksi Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid menentang kelab Bulgaria, Ludogorets, minggu lalu. - Foto AP

Selain itu, peluang Wales juga dilihat cerah apabila diletakkan dalam kumpulan yang turut dihuni Bosnia, Belgium, Israel, Cyprus dan Andorra dengan tiga pasukan teratas memiliki peluang layak ke pusingan akhir.

Dua kumpulan teratas setiap kumpulan akan layak secara automatik bersama pasukan yang berada di kedudukan ketiga terbaik.

Dan baki pasukan ketiga terbaik setiap kumpulan akan mengharungi perlawanan playoff untuk layak.

Bale yang menyertai Real Madrid dari kelab England, Tottenham Hotspur setahun lalu dengan laporan selaku pemain termahal dunia percaya penantian Wales untuk layak mampu diakhiri.

"Ia adalah kebanggaan paling besar untuk saya bermain untuk Wales. Bagi saya, saya mahu mencuba yang terbaik.

"Saya mahu cuba dan mencipta sejarah dengan pasukan dan layak untuk ke kejohanan besar dan ia adalah sesuatu yang kami semua sasarkan. Kami semua amat percaya kami menuju ke arah yang betul," katanya.

Wales dijadual bertemu Bosnia pada awal pagi Sabtu ini sebelum menentang Cyprus.- Reuters

Berita Harian X