Isnin, 14 Disember 2015 | 4:20pm

SFC sahkan bangkai ditemui ikan paus 'cuvier beaked'.

IKAN paus jenis 'cuvier beaked whale' yang ditemui di pantai Tanjung Batu, Bintulu, Sabtu lalu.

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengesahkan bangkai mamalia laut yang ditemui di pantai Tanjung Batu, Bintulu, Sabtu lalu adalah ikan paus jenis 'cuvier beaked whale'.

Jurucakap SFC dalam kenyataan berkata, pemeriksaan pada bangkai paus sepanjang 15.7 meter itu mendapati mamalia itu mati akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.

Beliau berkata, kecederaan dipercayai berlaku akibat terlanggar batu ketika mamalia itu berenang di perairan cetek berhampiran pantai.

"Pada malam Jumaat lalu, kakitangan SFC menerima maklumat orang awam mengenai seekor ikan besar dipercayai lumba-lumba terkandas di pantai Tanjung Batu.

"Pasukan kami bergegas ke lokasi dan menemui ikan yang masih hidup ketika itu sebelum dilepaskan kembali ke laut dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.

Bagaimanapun, sehari selepas itu orang ramai menemui bangkai paus terdampar di pantai berkenaan dan disahkan mamalia sama yang cuba diselamatkan oleh SFC.

SFC berkata, kejadian itu amat menyedihkan dan ia mungkin disebabkan kecederaan dialami terlalu serius sehingga menyebabkan kematian paus berkenaan.

Sampel kulit dan cebisan daging mamalia itu diambil untuk diuji bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya manakala bangkai ditanam di Taman Negara Similajau.

Berita Harian X