Selasa, 15 Disember 2015 | 1:20pm
MELALUI laman Instagram, Fizo tampil memohon maaf atas kekhilafannya itu.

Fizo Omar mohon maaf luahan di Twitter


STATUS Fizo di laman Twitter berhubung persembahan pada malam akhir Gegar Vaganza 2.

KUALA LUMPUR: Gara-gara status di laman Twitter berhubung persembahan pada malam akhir musim kedua program realiti, Gegar Vaganza (GV2) Ahad lalu, pelakon Fizo Omar teruk dikecam peminat.

Mesejnya yang berbunyi - 'Potong stimlah tengok Gegar Vaganza ini. Nak tengok otai menyanyi bukannya....' mendapat kritikan Netizen yang menghujani ruang komen dalam akaun Twitter dan laman sosial lain milik Fizo dengan bermacam-macam reaksi.

Biarpun tidak merujuk kepada mana-mana individu dalam mesej itu, ramai membuat andaian sendiri kepada siapa ia ditujukan.

Melalui laman Instagram, Fizo tampil memohon maaf atas kekhilafannya itu, semalam.

"Tahniah diucapkan kepada semua pemenang Gegar Vaganza musim kedua dan penaja utama serta pihak Astro atas kejayaan menganjurkan program yang menjadi satu fenomena.

"Sebelum itu, saya memohon banyak kemaafan seandainya status Twitter saya malam tadi (malam Ahad lalu) membuat ada pihak yang tidak selesa.

"Namun, sebenarnya ia tiada kaitan dengan mana-mana individu seperti yang diviralkan. Dengan rendah hati saya memohon kemaafan atas kekhilafan ini," katanya.

Biarpun sudah memohon maaf, ada pengikut Fizo terus menghentam pelakon dan pengacara ini. Tidak kurang juga menasihatinya supaya berfikir sebelum mengeluarkan kenyataan atau berkongsi luahan di laman sosial.

Berita Harian X