Selasa, 15 Disember 2015 | 2:16pm

Mossy Forest ditutup sehingga April 2016 untuk baik pulih


HUTAN lumut (mossy forest) di Gunung Brinchang.

CAMERON HIGHLANDS: Tindakan pengunjung dan pendaki tidak bertanggungjawab merosakkan kemudahan serta membuang sampah merata-rata mengakibatkan lokasi pelancongan hutan lumut (mossy forest) di Gunung Brinchang, di sini, ditutup enam bulan sehingga April tahun hadapan.

Keunikan hutan berlumut di atas Gunung Brinchang yang berada dalam dua negeri iaitu Pahang dan Perak, membolehkan pengunjung melihat keindahan sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa.

Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman, berkata penutupan kawasan yang terkenal kepada pelancong dan pendaki dalam dan luar negara itu bertujuan memulihkan persekitaran berlumut daripada terus rosak dan mati.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kemudahan seperti pondok rehat dan tangga kayu dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Kita mengambil keputusan menutup kawasan berkenaan bagi tujuan penyelenggaraan.

"Saya dapati ada beberapa kerosakan pada laluan pejalan kaki dan tangga selain sampah seperti bekas minuman serta tapak kasut dibuang merata-rata.

"Lebih mengecewakan masih ada gejala vandalisme kerana kesan terbakar dikesan pada lantai pondok rehat manakala jangka suhu yang diletak pada tiang khas turut hilang dicuri," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Walaupun ditutup, Mohd Paiz berkata, ada pelancong menceroboh kawasan menggunakan beberapa lorong tikus hingga merosakkan banyak pokok kecil.

Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada penceroboh Mossy Forest yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Batu Gangan Tambahan.

"Kita akan mendapatkan kepakaran beberapa penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha mengekalkan lumut dan suasana hijau semula jadi di situ," katanya.

Berita Harian X