Selasa, 15 Disember 2015 | 3:26pm

"Isteri saya masih koma"

HANAFI menunjukkan gambar isterinya, Sharina Shafie yang koma dipercayai akibat jangkitan kuman dalam otak serta mengalami tekanan darah tinggi. - Foto Nike Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: "Isteri saya masih berada dalam zon kritikal dan tidak menunjukkan perkembangan positif meskipun sudah tiga kali doktor melakukan imbasan pada bahagian otaknya," kata Hanafi Kamarudian, 25.

Hanafi, terpaksa berhenti kerja kerana menjaga isterinya, Sharina Shafie, 24, yang koma dipercayai akibat jangkitan kuman dalam otak serta mengalami tekanan darah tinggi.

"Saya dimaklumkan oleh doktor yang otak isteri saya semakin membengkak. Saya hanya mampu berserah kepada Allah," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Hanafi berkata, lebih menyedihkan apabila anaknya, Mohd Harraz Danial, yang baharu berusia lapan bulan, masih menyusu badan sedangkan ibunya masih tidak sedar dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Bagaimanapun, beliau berterima kasih dengan seorang guru dari Pasir Mas, yang menyatakan hasrat untuk memberi susu badan kepada anaknya.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kerana selepas tersiarnya kisah anak dan isteri saya dalam BH semalam, saya tidak putus-putus menerima panggilan daripada orang ramai yang ingin membantu," katanya.

BH semalam melaporkan kisah anak sulung Hanafi, Mohd Harraz yang susut berat badan berikutan isterinya, Sharina, dimasukkan ke ICU HRPZII, di sini lebih seminggu lalu kerana mengalami jangkitan kuman di kepala dan kini, dalam keadaan koma.

Harraz kini dijaga ibu saudara dan kakak iparnya dan terpaksa dibiasakan menyusu dengan susu formula.

Berita Harian X