Selasa, 15 Disember 2015 | 5:34pm

UEM Edgenta beli 80 peratus kepentingan KFM Holdings

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd memeterai perjanjian jualan saham (SSA) dengan pemegang saham KFM Holdings Sdn Bhd bagi pembelian kepentingan 80 peratus dalam KFM.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, UEM Edgenta menyatakan ia menandatangani perjanjian dengan Nurolamin Abas dan Fardan Abdul Majeed berhubung cadangan pembelian itu.

Pada 24 November lalu, UEM Edgenta mengumumkan rancangan untuk membeli 80 peratus modal terbitan keseluruhan dan modal saham berbayar KFM pada pertimbangan RM128 juta.

KFM bergiat terutama dalam pembekalan perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu, teknologi hijau dan kelestarian di Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Unit KFM, Veridis PPP One Sdn Bhd, ketika ini memegang konsesi 20 tahun daripada kerajaan untuk mengendalikan kerja berkaitan perkhidmatan penyelenggaraan dan program pengurusan aset, antara lain, untuk pejabat Perdana Menteri, Kompleks Perdana Putra.

Berita Harian X