Rabu, 16 Disember 2015 | 12:04am

Scha, Awal kerap bertengkar isu anak



SEPERTI juga pasangan lain, Scha Alyahya dan suami, Awal Ashaari, tidak terkecuali ingin berkongsi kegembiraan memiliki cahaya mata dan perkembangan serta gelagat si kecil bersama orang ramai.

Bagaimanapun, sebagai selebriti, tentu saja segala tindak tanduk mereka, termasuk bab memuat naik gambar anak tersayang turut menjadi tumpuan masyarakat.

Dalam rama-ramai yang mengikuti laman sosial mereka pula, pastinya ada yang bersikap suka menghentam, termasuk melaga-lagakan anak pasangan ini dengan cahaya mata selebriti lain.

Scha sendiri tidak menduga, niat baik mereka untuk berkongsi gambar Lara Alana dengan keluarga, rakan dan peminat menjadi medan buat sesetengah netizen untuk mencetuskan keadaan kurang menyenangkan, terutama apabila mereka seakan-akan membandingkan si kecil tadi dengan anak Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana.

Dek komen negatif peminat juga, Scha mengaku dirinya dan Awal kerap bertengkar.

Semuanya gara-gara terkesan dengan segala cemuhan dan rasa bersalah kerana memuat naik gambar anak mereka yang kini baru berusia 17 bulan.

SCHA Alyahya dan suami, Awal Ashaari bersama anak mereka, Lara Alana. - Foto ihsan Instagram Scha Alyahya

"Scha selalu juga berasa tidak sedap hati dan tertanya-tanya pada Awal, perlu ke kami muat naik gambar anak? Sedangkan kami tahu, keputusan untuk mengambil gambar dan memuat naik gambar berkenaan adalah hak Awal sebab beliau memang gemarkan aktiviti fotografi.

"Scha ada memberitahunya, kadang-kadang kita tidak tahu maklum balas orang akan berikan sebab masing-masing mempunyai reaksi yang berbeza-beza.

"Kami pula, tiada sekelumit pun niat untuk menimbulkan pergaduhan di laman sosial. Cuma, apabila peminat terlalu taasub, maka terjadilah situasi seperti ini. Memang ramai yang ingin memberikan ajaran kepada kita apabila bergelar ibu dan bapa, tetapi kami tetap terima mana-mana yang elok," katanya ketika ditemui pada majlis meraikan ikatan istimewa ibu dan anak Johnson's Baby di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kata Scha, jika boleh, mereka enggan membiarkan 'pergaduhan' antara peminat memberikan kesan terhadap dirinya dan Awal.

"Scha kadang-kadang bertengkar juga dengan Awal disebabkan komen peminat yang membuatkan kita berasa tidak seronok.

SCHA Alyahya bersama Lara Alana. - Foto ihsan Instagram Scha Alyahya

"Scha sebagai ibu pun kadang-kadang terfikir, apa yang kita buat ini benda tak betul. Macam malu pun ada dan segan pun ada. Awal bagaimanapun cakap, mana elok kita ambil dan yang tidak elok janganlah diambil pusing," katanya yang tidak pernah menyimpan niat untuk bersaing dengan mana-mana artis.

Menganggap Lara dan Aaisyah berada di dua dunia berbeza, pelakon berusia 32 tahun ini berkata, kedua-duanya mempunyai cara tersendiri yang tidak patut dilaga-lagakan.

"Niat kami mewujudkan Instagram untuk anak bukan untuk bersaing, sebaliknya sekadar berkongsi. Bagi orang lain yang tidak mahu berkongsi gambar anak, itu hak mereka.

"Bagi Scha pula, masing-masing mempunyai alasan tersendiri kenapa kita hendak berkongsi atau sebaliknya. Pokok pangkalnya, kita kena tahu benda yang kita kongsi itu memberikan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak ataupun tidak," katanya.

Pelakon dan pengacara ini mengakui, ketaksuban peminat terhadap anak mereka dan cahaya mata pasangan selebriti terbabit menyebabkan sebahagiannya menganggap kedua-duanya bersaing sesama sendiri dalam memuat naik gambar si kecil.

LARA Alana. - Foto ihsan Instagram Scha Alyahya

Tidak mahu 'perbalahan' peminat menjadi punca hubungan mereka dengan Rozita, yang mesra disapa Che Ta, menjadi keruh, Scha menasihati kelompok berkenaan agar tidak terlalu taksub dan membandingkan dua kanak-kanak itu.

"Scha terbaca di Twitter, ada yang cakap peminat bergaduh dengan peminat Aaisyah disebabkan gambar mereka yang saling dimuat naik. Scha terfikir, kenapa benda ini terjadi, sebab masing-masing masih budak lagi? Ia tidak patut terjadi seperti ini.

"Scha tidak mahu perkara ini berlaku sebab secara tak langsung, Scha dengan Che Ta pula yang akan bermasam muka. Sedangkan, Che Ta baik-baik saja, tiada masalah pun dengan Scha.

"Scha akui, memang ramai yang minat budak kecil sebab mereka comel. Tetapi, Scha tidak mahu mereka terlalu taksub. Scha juga sedar, peminat kadang kala banyak membantu, tetapi apabila terjadi perkara seperti ini, kita rasa tak seronok sebab mereka terlalu fanatik. Itulah yang membuatkan kita sebagai ibu bapa jadi risau dan takut," katanya.

Sementara itu, menyentuh soal kerjaya, Scha memberitahu kesibukan mempromosikan produk yang menyaksikan dirinya sebagai duta membuatkan beliau tidak mempunyai masa untuk memberi tumpuan pada

lakonan.

PASANGAN selebriti, Scha Alyahya dan Awal Ashaari. - Foto Adi Safri

Akan kembali membintangi drama 16 episod berjudul Isteri vs Tunang, bergandingan dengan Hisyam Hamid, Scha turut dilantik sebagai juri sebuah program fesyen di TV3.

"Apabila sudah terikat dengan komitmen sebagai duta, banyak masa dihabiskan dengan aktiviti seperti melancong, menjayakan sesi fotografi dan iklan. Aktiviti sebegini akan bertindih dengan jadual penggambaran drama. Sebab itu, kalau Scha terbabit dengan drama, Scha akan fokus dulu pada projek terbabit, begitu juga sebagai duta," katanya.

Wanita ini turut mengaku dirinya sedih hendak meninggalkan anak apabila terikat dengan sesuatu kerja yang memerlukan mereka berjauhan.

"Namun, apabila difikirkan Awal dan pengasuh ada untuk membantu, jadi tiada masalah untuk Scha keluar bekerja," katanya.

Mengenai perancangan untuk membabitkan sama si kecil dalam aktiviti seperti mewakili sesuatu produk, Scha menegaskan, setakat ini, anaknya terikat dengan dua jenama.

"Bukan tidak membenarkan Lara terbabit dalam bidang seni, cuma Scha kena pilih yang mana sesuai untuk Lara sebab Lara ini sangat aktif. Setakat ini, Scha mengehadkan dirinya untuk iklan dulu," katanya.

Berita Harian X