Khamis, 17 Disember 2015 | 2:30pm

22 pelajar Kelas Baitul Amal terima sijil


YAHYA (kanan) menyampaikan anugerah kepada pelajar pada Majlis Konvokesyen dan Khatam al-Quran yang diadakan di Masjid Jamek Putatan di Putatan, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin

PUTATAN: Seramai 22 murid dan pelajar Kelas Baitul Amal Datin Hajah Siti Jouyah Md Yunin menerima sijil kecemerlangan dan tamat pengajian sempena Majlis Konvokesyen dan Khatam al-Quran yang diadakan di Masjid Jamek Putatan di sini, semalam.

Daripada jumlah itu 10 orang ialah pelajar dewasa wanita, manakala 12 orang lagi ialah kanak-kanak dari beberapa sekolah di sekitar daerah ini.

Majlis perasmian dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin yang juga penaung kelas berkenaan sejak penubuhannya pada tahun 2011 dan isterinya, Datin Siti Jouyah Md Yunin yang juga pengasas Kelas Baitul Amal.

Yahya yang juga Ketua UMNO Putatan, dalam ucapannya, berkata kelas itu bermatlamat untuk melahirkan masyarakat celik al-Quran tanpa mengira peringkat umur dan lapisan khususnya di daerah ini.

"Ia adalah kelas yang memberi bimbingan mengenai al-Quran secara percuma dengan harapan ia dapat menjadi benteng dan panduan hidup kepada semua yang mempelajarinya," katanya.

Yang turut hadir ialah Ketua Daerah Putatan, Yunus Ismail; Penolong Pegawai Daerah Putatan, Hassan Mahali; Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Putatan, Othman Hamid dan guru kanan Kelas Baitul Amal Datin Hajah Siti Jouyah, Hasnah Abdul Razak.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berharap ilmu yang diperoleh menerusi kelas berkenaan digunakan sepenuhnya untuk manfaat diri, keluarga dan masyarakat.

Beliau turut menggesa agar umat Islam di daerah ini mengambil peluang untuk mendalami ilmu al-Quran dan keagamaan menerusi Kelas Baitul Amal Datin Seri Siti Jauyah yang disediakan secara percuma kepada umat Islam di daerah ini.

25 dibaca
Berita Harian X