Khamis, 17 Disember 2015 | 7:40pm

Koperasi jadi pemangkin penjanaan ekonomi golongan muda


NAJIB bersama Ali Hamsa, Mohamad Zabidi dan Muhammad Ammir bergambar bersama ahli KOPROJAYA selepas Majlis Ramah Mesra Minum Petang di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mahu gerakan koperasi terutama yang dikendalikan orang muda menjadi pemangkin penjanaan aktiviti ekonomi dan kekayaan golongan terbabit.

Perdana Menteri berkata, koperasi juga membantu dalam memacu ekonomi setempat serta usaha menambah nilai dalam ekonomi negara.

"Koperasi juga menjadi satu pentas untuk mempertajam serta membangunkan kebolehan ahli terutama pegawai muda dalam perkhidmatan awam memperlihatkan bakat mereka memimpin koperasi.

"Kejayaan seperti ini akan tentu memperkayakan pengalaman yang pastinya berguna untuk pembangunan kerjaya masing-masing termasuk untuk menyandang jawatan lebih kanan dalam perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Minum Petang bersama Ahli Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Negara yang juga Penasihat KOPROJAYA, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Pengerusi KOPROJAYA, Muhammad Ammir Haron.

Seramai 55 ahli KOPROJAYA menerima surat penghargaan atas komitmen tinggi dalam membantu aktiviti koperasi secara sukarela.

Berita Harian X