Khamis, 17 Disember 2015 | 7:55pm

SM Imtiaz raih pingat emas pameran Reka Cipta antarabangsa

TIGA pelajar dan dua guru pembimbing SM Imtiaz Besut berjaya mengharumkan Malaysia apabila memenangi pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta peringkat antarabangsa di Kaohsiung, Taiwan, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
TIGA pelajar dan dua guru pembimbing SM Imtiaz Besut berjaya mengharumkan Malaysia apabila memenangi pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta peringkat antarabangsa di Kaohsiung, Taiwan, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

BESUT: Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut berjaya mengharumkan Malaysia apabila memenangi pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta peringkat antarabangsa di Kaohsiung, Taiwan, baru-baru ini.

SM Imtiaz yang mewakili sekolah berprestasi tinggi (SBT) negara berjaya mengalahkan 122 sekolah berprestasi tinggi lain dari seluruh dunia dengan hasil ciptaan bertajuk 'Valve Release Pump' (VRP) yang menarik hati juri.

SM Imtiaz diwakili tiga pelajar iaitu, Ahmad Luqmanul Hakim Nor Azman, Muhammad Luqman Afif Johari dan Muhammad Azri Faiq Mohamad, pelajar Tingkatan 4 dengan dibimbing tenaga pengajar, Azizan Harun dan Badrulhisham Ramli.

Pengetua SM Imtiaz Besut, Abdul Wahab Mohd Arshad, berkata pertandingan yang diadakan bersempena Pameran Reka Cipta dan Inovasi 2015 bagi Kategori Teknologi Tinggi selama dua hari bermula 4 Disember lalu.

Alat VRP itu berfungsi untuk mempermudahkan proses mengeluarkan injap dari kenderaan dalam masa singkat.

"Alat yang menarik hati juri dalam pertandingan itu direka dengan belanja tidak melebihi RM75 dan ia direka dalam masa tidak sampai sebulan," kata Abdul Wahab kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelajar sekolahnya itu telah dipilih mewakili negara setelah menang dalam pertandingan peringkat kebangsaan bagi kategori SBT yang diadakan Julai lalu.

"Pertandingan itu diadakan bagi meningkatkan pembabitan pelajar dalam reka cipta dan teknologi khususnya bagi peringkat SBT di seluruh dunia," katanya menambah usaha Malaysia dalam memperkasakan bidang sains dan teknologi serta inovasi, diiktiraf dunia.

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X