Jumaat, 18 Disember 2015 | 12:13am
PELAKON teater Mimpi Artilla, Ezlynn dan Adibah Noor pada majlis The Royal Arts Gala. - Foto Syaharim Abidin
EIDA Moin dan Ezlynn bersama peminat. - Foto Khairunisah Lokman
EZLYNN tidak hadir GV2 kerana perlu berehat 48 jam selepas diberi suntikan di lututnya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ezlynn sakit lutut, bukan drama

BERMACAM-macam spekulasi timbul apabila kelibat seorang peserta musim kedua program realiti, Gegar Vaganza (GV2) yang tersingkir pada pusingan awal, Ezlynn, 33, tidak kelihatan di pentas akhir acara itu, Ahad lalu.

Ketika peserta lain iaitu Sheeda, Zul, Nizam Laksamana, Amir Ukays dan Azian Mazwan Sapuan tampil menghiburkan penonton dalam segmen selingan, Ezlynn tidak hadir.

Lantas bertebaran spekulasi kononnya Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin memulaukan GV2 kerana dia dikatakan tidak berpuas hati dengan pengendalian program realiti itu. Ada juga kedengaran khabar angin kononnya penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye itu tidak sependapat dengan produksi terbabit.

Khabarnya, Ezlynn kecil hati apabila dia dan seorang lagi peserta, Zul Handy Black tersingkir pada minggu ketiga.

"Saya terkejut apabila timbul cerita begini. Saya sama sekali tidak tersinggung atau terasa hati apabila tersingkir. Saya menerima keputusan yang dibuat juri dengan hati yang terbuka kerana mereka lebih arif.


EZLYNN perlu menjalani sesi fisioterapi selama enam bulan dan mengurangkan aktiviti bersenam bagi memastikan lututnya pulih. - Foto Khairunisah Lokman

"Saya seorang yang profesional. Tidak pernah sekalipun saya melatah dengan perkara remeh begini. Namun, saya dapat agak isu ini akan timbul kerana saya tidak dapat bersama rakan-rakan lain membuat persembahan pada malam Ahad lalu," katanya kepada BH Plus.

Perlu jalani fisioterapi enam bulan

Menjelaskan perkara itu, Ezlynn berkata, dia mengalami masalah lutut hingga tidak dapat beraksi pada malam akhir GV2.

"Kebetulan tarikh dipilih doktor untuk saya mendapatkan rawatan adalah Isnin lalu. Sebenarnya, sudah lama masalah lutut ini saya hadapi. Doktor membuat keputusan untuk memberi suntikan di tempat yang sakit itu.

"Doktor beri syarat supaya saya berehat 48 jam selepas suntikan diberi. Disebabkan itulah saya tidak dapat pergi memeriahkan GV2. Jika diikutkan hati, semestinya saya mahu hadir dan memberi semangat kepada semua rakan yang bertanding," katanya.

Ezlynn berkata, dia perlu menjalani sesi fisioterapi selama enam bulan dan mengurangkan aktiviti bersenam bagi memastikan lututnya pulih seperti sedia kala.

Doktor menjelaskan, lutut Ezlynn berubah kedudukan akibat beberapa kali terjatuh basikal.

Kata Ezlynn, pergerakannya agak terbatas kerana perlu memastikan kakinya tidak bertambah teruk.

"Lutut saya masih dalam proses untuk sembuh kerana baharu saja disuntik," katanya.


EZLYNN terima dengan hati terbuka keputusan juri GV2 yang menyingkirkannya, justeru tidak imbul isu dia kecil hati sehingga pulaukan GV2. - Foto Syaharim Abidin

Nasihat Nana usah dengar kata orang

Mengulas mengenai kemenangan Siti Nordiana atau Nana sebagai juara GV2, Ezlynn teruja dengan kejayaan sahabatnya itu.

Ezlynn berkata, Nana layak mendapat pengiktirafan kerana memiliki bakat besar dalam bidang nyanyian.

"Saya terharu kerana akhirnya bakat yang dimiliki Nana berjaya ditonjolkan menerusi GV2. Secara jujur, saya meminati suara dan ketabahan Nana kerana perjalanan hidupnya penuh dengan cabaran.

"Nana melalui pelbagai perit getir kehidupan. Dia diuji bukan saja sebagai penyanyi, malah membesarkan anak sebagai seorang ibu tunggal, manakala bekas suaminya juga meninggal dunia pada usia yang muda," katanya.

Ezlynn juga menasihatkan Nana supaya tabah berdepan tohmahan orang.

"Biarlah digelar penyanyi kampung sekalipun, di mata saya, Nana adalah seorang penyanyi yang berbakat.

"Buat Nana, tahniah saya ucapkan dan usah pedulikan kata-kata negatif orang. Apa yang penting kita ikhlas dengan apa yang kita lakukan," katanya.


EZLYNN mengalami masalah lutut sehingga tidak dapat beraksi pada malam akhir GV2. - Foto Adi Safri

Serah soal zuriat kepada Tuhan

Berbicara mengenai kisah rumah tangga, Ezlynn yang berkahwin dengan pengurus peribadinya, Adam Fahmy Shamsudin, 39, kira-kira empat tahun lalu mengakui sering diajukan soalan mengenai cahaya mata.

Dalam nada sayu, Ezlynn menjelaskan dia menyerahkan soal zuriat kepada Allah.

"Saya sendiri tidak mempunyai jawapan untuk soalan itu. Siapa yang tidak inginkan anak? Saya menyerahkan soal anak sepenuhnya kepada Allah yang lebih mengetahui segala-galanya.

"Itu saja yang mampu saya katakan apabila ditanya mengenai rezeki dikurniakan cahaya mata," katanya mengakhiri perbualan.

315 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »