Sabtu, 19 Disember 2015 | 12:18am

Berkhatan elak jangkitan

DR Khairul Idzham melakukan prosedur berkhatan mengunakan kaedah laser.
DR Khairul Idzham melakukan prosedur berkhatan mengunakan kaedah laser.

MUSIM cuti persekolahan muncul lagi dan kebiasaannya, ibu bapa akan memanfaatkannya dengan melakukan pelbagai aktiviti yang tidak dapat dilakukan semasa hari persekolahan.

Antara aktiviti yang sangat popular ketika cuti sekolah adalah berkhatan. Jika dulu, mendengar nama Tok Mudim saja sudah cukup menggerunkan, apatah lagi membayangkan proses berkhatan tradisional menggunakan pisau dan batang pisang.

Kini, selari dengan perubahan zaman, kanak-kanak kini tidak lagi dapat membayangkan kelibat Tok Mudim dengan pisaunya dan yang ada hanyalah doktor dengan peralatan khas untuk berkhatan.

Berdasarkan pandangan Imam Syafie, berkhatan wajib dilakukan ke atas mereka yang beragama Islam.

Berkhatan merujuk pada proses memotong lebihan kulit pada bahagian alat sulit sama ada lelaki atau perempuan.

Ini sebagai satu daripada cara membersihkan alat sulit kerana zakar dan faraj adalah tempat pembiakan kuman yang boleh memudaratkan.

Kebanyakan ulama berpendapat khatan wajib dilakukan ketika anak lelaki hampir cukup umur atau akil baligh.

Pengamal perubatan swasta, Dr Khairul Idzham Abdul Khalid, berkata kebanyakan prosedur berkhatan yang dibuat adalah kerana tuntutan agama, yang mana prosedur itu dilakukan pada zakar yang normal.

"Tetapi ada juga prosedur berkhatan yang dibuat atas sebab perubatan seperti pesakit mengalami `phimosis', yang mana pembukaan pada hujung kulit kemaluan terlalu sempit sehingga menghalang aliran air kencing.

"Prosedur berkhatan dilakukan kepada pesakit yang menghidap `paraphimosis', yang mana kulit hujung kemaluan tersekat sehingga mencerut zakar.

"Selain itu, terdapat beberapa lagi keadaan yang memerlukan seseorang itu dikhatankan atas sebab perubatan, namun semua ini perlu dilakukan atas nasihat doktor pakar," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, secara lazimnya terdapat dua peringkat umur utama, yang mana prosedur berkhatan selalu dilakukan.

"Pertama, adalah selepas bayi lelaki baru dilahirkan atau juga dikenali sebagai neonatal circumcision, manakala peringkat umur yang menjadi kebiasaan bagi rakyat negara ini adalah sekitar umur enam tahun hingga 12 tahun.

TIGA teknik berkhatan iaitu biasa, laser dan clamp.
TIGA teknik berkhatan iaitu biasa, laser dan clamp.

"Teknik berkhatan yang digunakan kini juga ada beberapa kaedah iaitu biasa, laser dan clamp. Berdasarkan pengalaman saya, ramai ibu bapa yang memilih untuk menggunakan teknik clamp kerana cara penjagaannya yang lebih mudah dan tempoh penyembuhan juga lebih cepat.

"Mereka yang memilih teknik clamp juga boleh terus memakai seluar selepas prosedur kerana kawasan prosedur yang tertutup oleh alat clamp. Ia juga mengurangkan rasa ngilu pada kanak-kanak selepas prosedur.

"Selain itu, teknik freehand dengan menggunakan laser juga menjadi pilihan kerana kesan luka yang minimum membolehkannya sembuh dengan cepat," katanya.

Mengulas mengenai harga bagi setiap teknik, Dr Khairul Idzham berkata, ia bergantung kepada kadar yang dikenakan di setiap klinik atau pusat perubatan.

"Biasanya, untuk kaedah freehand, harganya adalah sekitar RM130 hingga RM150, manakala untuk kaedah clamp ia antara RM160 dan RM190," katanya.

Tambahnya, untuk penjagaan selepas berkhatan, pesakit digalakkan untuk tidak mengambil makanan yang boleh menyebabkan gatal seperti makanan laut, ayam dan telur.

"Secara umumnya, jika kanak-kanak itu tidak mempunyai sebarang alahan pada makanan, tiada pantang yang khusus perlu dilakukan.

"Jika semuanya berjalan lancar dan kanak-kanak tidak melakukan sebarang aktiviti lasak selepas berkhatan, mereka boleh sembuh sepenuhnya dalam tempoh lima hingga 10 hari," katanya.

Pernah juga dipaparkan dalam media mengenai gelagat kanak-kanak yang lari daripada majlis berkhatan kerana rasa takut yang tidak terkawal.

Bagi mengelakkan kejadian berkenaan, Dr Khairul Idzham menitipkan pesan kepada ibu bapa supaya memastikan anak mereka bersedia secara mental untuk menghadapi prosedur berkhatan.

Beliau berkata, jika anak tidak bersedia dan terlalu takut untuk menghadapi prosedur itu, maka prosedur itu tidak harus diteruskan kerana ia meningkatkan risiko komplikasi.

Sebelum khatan dilakukan, katanya, pemeriksaan terperinci harus dijalankan pada zakar. Jika terdapat kelainan pada zakar seperti hipospadias, epispadias, chordae, penis tenggelam atau terlalu kecil, pesakit perlu dirujuk pada pakar bedah kanak-kanak untuk pemeriksaan lanjut.

"Ibu bapa juga hendaklah memastikan anak mereka tidak ada masalah pendarahan seperti haemophilia kerana jika anak ada masalah berkaitan, pesakit mungkin mengalami pendarahan tidak terkawal setelah berkhatan.

"Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah mental atau masalah pendarahan, Majlis Fatwa Kebangsaan memberi pengecualian kepada mereka daripada melakukan khatan.

"Selain itu, untuk kanak-kanak yang tidak dapat dikhatankan di bawah pengaruh bius setempat, mereka boleh dipertimbangkan untuk dikhatankan di bawah pengaruh bius umum bergantung kepada penilaian doktor yang merawat," katanya.

BERKHATAN merujuk pada proses memotong lebihan kulit pada bahagian alat sulit sama ada lelaki atau perempuan.
BERKHATAN merujuk pada proses memotong lebihan kulit pada bahagian alat sulit sama ada lelaki atau perempuan.

INFO: Kelebihan Berkhatan

Kebersihan

Kulit yang berlebihan pada hujung zakar boleh menghasilkan longgokan dan berbau busuk yang dikenali sebagai `smegma'.

Ia adalah najis yang boleh membatalkan air sembahyang. Dalam keadaan yang serius, ia boleh menyebabkan kesukaran membuang air kecil.

Elak jangkitan kuman pada salur kencing

Kajian membuktikan bayi yang berkhatan mempunyai risiko 10 kali lebih rendah untuk mengalami masalah jangkitan pada salur kencing.

Kurangkan risiko kanser

Khatan mampu kurangkan risiko kanser seperti kanser zakar, prostat untuk lelaki dan kanser serviks serta kanser payudara bagi wanita.

Cegah HIV

Kajian saintifik membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X