Sabtu, 19 Disember 2015 | 7:11am

Kelebihan perubatan negara membangun

KUNTA Kinte ada jumpa banyak ibu bapa yang tak berapa seronok bila anak-anak mereka kena hantar ke negara-negara lain untuk buat perubatan.

Mereka berasa tak cukup kelas atau anak mereka tak cukup berjaya bila kerajaan hantar mereka buat perubatan di negara macam Indonesia, India, Pakistan dan Mesir.

Kunta Kinte tak hairan dengan sikap macam itu. Orang kita secara automatik anggap negara-negara membangun sebagai tak ada kelas apatah lagi dalam bidang sains dan teknologi.

Bila ada ibu bapa bagi tahu Kunta Kinte yang anak mereka sedang atau akan buat perubatan, Kunta Kinte akan tanya di mana.

Kalau mereka kata India, Indonesia atau Mesir, Kunta Kinte kata bagus. Ramai terkejut. Mereka sangka Kunta Kinte sindir. Tapi reaksi Kunta Kinte itu benar dan ikhlas.

Kalau betul-betul nak belajar perubatan dan nak jadi doktor macam dalam sumpah Hippocrates (Hippocratic oath), Indonesia, India, Mesir dan negara-negara membangun lain adalah lebih baik dari negara-negara maju.

Kunta Kunte kata macam itu pasal di negara-negara membangun ada macam-macam penyakit yang seorang bakal doktor perlu ketahui, pelajari dan ubati. Ambil contoh paling mudah, penyakit kudis buta. Di negara-negara maju, mereka dah tak tahu apa kudis buta.

Di Malaysia pun dah jarang sangat orang kena kudis buta, kecuali orang asli dan pendatang dari negara-negara miskin.

Tapi di negara macam Indonesia, India dan Pakistan bukan saja kudis buta malah macam-macam penyakit kulit masih ada. Masa Kunta Kinte kecil, itulah penyakit yang paling kerap kita kena sampai berulat dan tinggal parut sebesar syiling lima atau 10 sen.

Kunta Kinte bernasib baik dapat pergi ke banyak negara di dunia kerana tugas. Ada maju dan ada mundur. Beberapa kali Kunta Kinte jatuh sakit dan dirawat oleh doktor mereka.

Hasil kerja mengagumkan

Pada 1971 Kunta Kinte kena sakit gigi di New Zealand. Kunta Kinte jumpa seorang doktor gigi swasta dan dia tampal gigi Kunta Kinte.

Hari ini, 44 tahun kemudian, tampalan itu masih kuat. Mutu kerja pengamal perubatan di negara-negara maju cukup tinggi.

Dalam satu lawatan tugas ke Vietnam pula, Kunta Kinte kena cirit-birit. Menggelupur di dalam bilik dan terpaksa minta hotel memanggil doktor. Tengok bentuk ubat pun kita tahu ubat fesyen lama.

Keesokan hari bila Kunta Kinte jumpa doktor rombongan Kerajaan Malaysia dan tunjuk ubat yang doktor Vietnam bagi, dalam nada jenaka dia kata kuda pun boleh sembuh dengan ubat itu. Maksudnya ubat itu sangat kuat. Boleh jadi di Vietnam kuman cirit-birit kuat dan perlu ubat yang kuat juga untuk binasakannya.

Kunta Kinte tak ingat di negara mana tapi di Eropah, Kunta Kinte demam dan jumpa doktor. Soalan pertama yang dia tanya, adakah Kunta Kinte dah makan aspirin.

Di negara-negara Eropah, amalannya adalah kalau dua tiga hari demam tapi tak baik lepas makan aspirin, barulah jumpa doktor. Di sana kalau nak jumpa doktor kena buat temu janji. Tak boleh terpa masuk macam di negara kita.

Usah perkecil kebolehan

Baru-baru ini Kunta Kinte jatuh sakit di sebuah pekan kecil di pedalaman Sabah. Ada sebuah saja klinik swasta di pekan itu. Kunta Kinte cerita tanda-tanda sakit Kunta Kinte dan dia beri nasihat bagaimana nak kawal kesakitan Kunta Kinte.

Dia beri dua jenis ubat. Alhamdulillah mujarab walaupun bukan daripada jenis yang berjenama. Ubat yang dia bagi kepada Kunta Kinte itu adalah ubat generik.

Kunta Kinte dapat simpulkan yang dia begitu yakin dengan aduan Kunta Kinte sebab di tempat dia amalkan kerjayanya, penduduk sekitar adalah petani yang tentunya alami banyak masalah berkaitan urat saraf, otot dan tulang macam yang Kunta Kinte deritai.

Memang sejak muda lagi Kunta Kinte alami masalah tulang belakang akibat kemalangan jalan raya pada pertengahan 1970-an. Tiga bulan buat fisioterapi di Hospital Universiti yang sekarang dipanggil Pusat Perubatan Universiti Malaya (PMUM).

Jadi, kita janganlah pandang rendah latihan dan amalan perubatan di negara-negara membangun dan janganlah kita sangka seorang doktor kampung sebagai kurang darjatnya dalam ilmu perubatan berbanding doktor di negara atau tempat yang maju.

Yang lebih utama adalah tekun belajar dan setia jalankan tugas mengubati pesakit macam dalam sumpah Hippocrates. Wallahualam.

Berita Harian X