Sabtu, 19 Disember 2015 | 8:20am
SULTAN Ibrahim sempat meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung di Restoran Muar Soup House, Muar. - Foto Syarafiq Abd Samad

Sultan Johor bersantap pagi bersama rakyat

SULTAN Ibrahim mencemar duli untuk bersantap pagi di Restoran Muar Soup House, Muar. - Foto Syarafiq Abd Samad

MUAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mencemar duli bersantap pagi bersama penduduk Muar di Restoran Muar Soup House di Jalan Sisi di sini, sebentar tadi.

Baginda tiba di restoran terbabit kira-kira jam 7 pagi dengan menaiki kenderaan rasmi diiringi Pegawai Daerah Muar, Ramlee A Rahman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM) Jamaludin A Hamid dan beberapa pegawai istana.

Tanpa sebarang protokol, baginda yang berpakaian kemeja dan memakai songkok juga kelihatan ceria dan sempat meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung yang turut bersarapan di restoran itu.

Sultan Ibrahim kemudian memesan hidangan santapan pagi baginda iaitu roti canai garing dengan minuman teh tarik ais dan halia "o" ais sebelum menikmatinya bersama rakyat yang turut berada di situ.

Selepas meluangkan masa kira-kira 40 minit, baginda kemudiannya berkenan untuk bersalaman dan bergambar bersama pengunjung, sebelum berangkat pulang ke Istana Tanjung, Muar.

Berita Harian X