Sabtu, 19 Disember 2015 | 10:42am
ANGGOTA tentera yang setia kepada Presiden Yaman, AbdRabbu Mansur Hadi, melepaskan peluru di kawasan Sirwah, barat Marib, kelmarin. - Foto AFP

Arab Saudi pintas peluru berpandu pemisah Yaman

RIYADH: Tentera udara Arab Saudi berjaya memintas satu daripada dua peluru berpandu balistik yang dibedil dari wilayah Yaman.

Menurut kenyataan pasukan tentera gabungan diketuai Arab Saudi, peluru berpandu kedua mendarat di kawasan padang pasir di timur bandar raya Najran.

Tiada laporan kecederaan setakat ini.

Awal minggu ini, beberapa sasaran Arab Saudi di Yaman dikatakan diserang puak pemisah.

Menurut laporan Al Manar, sekurang-kurangnya tiga peluru berpandu Qahir-1 digunakan untuk membedil beberapa pangkalan dan kem.

Serangan itu dilakukan ketika gencatan senjata anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diumumkan di Yaman Selasa lalu, dicabul semua pihak, sekali gus mengancam rundingan damai di Switzerland.

Arab Saudi cuba mengembalikan jawatan kepada Presiden Yaman, AbdRabbu Mansur Hadi, yang meninggalkan negara itu berikutan tekanan pemberontak Houthi. - Agensi

99 dibaca
Berita Harian X