Sabtu, 19 Disember 2015 | 12:00pm

Ringgit dijangka 4.25-4.35 berbanding dolar minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat antara 4.25 dan 4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan memandangkan mata wang asing itu susut susulan kenaikan kadar faedah oleh AS.

Ketua Penyelidikan Mercury Securities, Edmund Tham, berkata terdapat kesan yang sedikit ke atas pergerakan pasaran susulan pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Berita mengenai kenaikan pasti berkenaan berlegar dalam pasaran sejak sekian lama dan pengumuman mengenainya memberi kesan kecil ke atas mata wang tempatan kita.

"Saya yakin tiada banyak pergerakan dalam tempoh dua minggu akan datang memandangkan pasaran masih memerlukan pemangkin untuk merangsang mata wang kita," katanya kepada Bernama.

Fed akhirnya mengakhiri era kadar faedah hampir kosong di AS yang bermula pada Disember 2008 ketika pasaran kewangan global dibelenggu krisis.

Peniaga berkata, bagi minggu yang baru berakhir, ringgit berada dalam jajaran kecil berbanding dolar AS di tengah-tengah ketiadaan pemangkin baharu yang mendorong pelabur memilih dolar AS.

Bagaimanapun, mata wang serantau termasuk ringgit akan terus mengalami tekanan menurun disebabkan harga minyak mentah dan komoditi yang rendah dalam jangka pendek.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata kerajaan akan menyemak semula Bajet 2016 jika harga minyak mentah terus kekal rendah.

Kerajaan merangka bajet itu berdasarkan andaian bahawa minyak mentah Brent akan mencapai purata AS$48 setong tahun depan, namun pada tengah hari Khamis, ia diniagakan sekitar AS$37 setong.

Harga minyak mentah Brent susut AS$1.26 kepada AS$37.19 setong disebabkan lebihan bekalan global.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit meningkat kepada 4.2870/2940 berbanding dolar AS daripada 4.2900/2950 minggu lepas.

Unit tempatan juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0344/0400 daripada 3.0484/0543 Jumaat lepas, namun susut berbanding yen kepada 3.5342/5414 daripada 3.5199/5251 minggu lepas.

Ringgit turut meningkat berbanding pound kepada 6.4039/4161 daripada 6.5049/5142 dan kukuh berbanding euro kepada 4.6415/6495 daripada 4.7048/7112 sebelum ini.

- BERNAMA

Berita Harian X