Ahad, 20 Disember 2015 | 11:20am

Warga emas maut, isteri cedera nahas

Ishak Ibrahim
Ishak Ibrahim

SEGAMAT: Seorang warga emas maut manakala isterinya cedera selepas kereta dinaiki bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melalui selekoh di Kilometer 50, Jalan Segamat-Tangkak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, Ishak Ibrahim, 85, yang memandu Proton Wira dalam perjalanan pulang ke Felda Sri Ledang, Jementah bersama isteri, Siti Saad, 80, selepas menziarahi anaknya di pekan Jementah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, berkata siasatan mendapati Proton Wira yang dinaiki warga emas terbabit bertembung dengan Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berumur 30-an.

Katanya, dipercayai pemandu Proton Wira terbabit termasuk ke laluan bersebelahan ketika mengambil satu selekoh tajam di lokasi kejadian menyebabkan kenderaan yang datang dari arah depan tidak dapat mengelak lalu bertembung.

"Akibat pertembungan itu, pemandu Proton Wira yang mengalami kecederaan di badan dikejarkan ke Hospital Segamat tetapi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Isterinya yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan dan turut dirawat di hospital sama, manakala pemandu Toyota Hilux cedera ringan di muka," katanya di sini, kelmarin.

Mohd Kamil berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Mohd Nohor Kunci Mohamad, 47, berkata sebelum pulang, ibu dan bapa mentuanya itu sempat makan malam di rumahnya sambil ditemani isteri Nur Hizana Ishak, 47 dan anaknya, Hazatul Husna, 8.

Katanya, selepas menunaikan solat Maghrib, ibu dan bapa mentuanya pulang ke kediaman mereka yang terletak hanya kira-kira 20 kilometer dari rumahnya dengan menaiki Proton Wira.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira 20 minit kemudiannya beliau dihubungi anggota dari Balai Polis Jementah memaklumkan kemalangan jalan raya yang menimpa ibu dan bapa mentuanya dan bergegas ke tempat kejadian namun mereka sudah dihantar ke Hospital Segamat dengan ambulans.

"Sebaik sampai di hospital, bapa mentua dikatakan perlu menjalani pemeriksaan x-ray sebelum dibawa ke wad kecemasan untuk rawatan lanjut tetapi tidak lama kemudian kira-kira jam 8 malam, dia disahkan meninggal dunia.

"Saya dan isteri benar-benar terkejut. Ketika makan malam di rumah kami, arwah sering bergurau dengan cucunya dan mengingatkan saya supaya memberikan pendidikan agama secukupnya kepada Hazatul," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X