Ahad, 20 Disember 2015 | 3:25pm

Nur Aurora ada akaun Instagram sendiri


AKAUN Instagram Nur Aurora. - Foto ihsan Instagram Nur Aurora

KUALA LUMPUR: Bagai menjadi ikutan pula apabila semakin ramai kini anak selebriti tanah air mempunyai laman sosial mereka sendiri.

Terbaharu, anak kedua pasangan pelakon, Diana Danielle dan Farid Kamil, Nur Aurora, turut memiliki Instagramnya sendiri yang diberi nama @nur_aurora7.

Sejak dibuka semalam, akaun terbabit kini mempunyai kira-kira 3,000 pengikut.

Sebelum itu, pasangan berkenaan mewujudkan akaun Instagram untuk anak pertama mereka, Muhammad (@chemad7) yang kini diikuti oleh 95,000 orang.

Bagaimanapun, ia belum dapat mengatasi pengikut laman sosial anak pasangan Awal Ashaari dan Scha Alyaha, Lara Alana, yang mempunyai 1.2 juta pengikut.

Sementara itu, Diana dan suami berkongsi gambar anak perempuan mereka, semalam, di laman sosial masing-masing. Wajah dan aksi comel Nur Aurora yang ditampilkan dengan tema Snow White atau Puteri Salju itu dirakamkan jurugambar Camora Arts.

Gambar cantik itu nyata menarik minat ramai pengikut mereka di laman bergambar popular berkenaan. Turut mencuri perhatian ialah gaya Muhammad atau lebih mesra disapa Che Mad yang sedang mencium Nur Aurora.

"Assalamualaikum. Hello semua! Saya perkenalkan kepada semua anak perempuan kami berusia sebulan diberi nama Nur Aurora. Kamu (merujuk kepada Nur Aurora) menjadi rahmat terbesar dalam hidup kami selain Muhammad.

"Saya bertuah memiliki anak yang tenang dan gembira sepertinya. Syukur kepada Tuhan untuk keluarga kecil kami ini," ungkap Diana di laman Instagramnya.

Nur Aurora dilahirkan pada 19 November lalu di Hospital Pantai Bangsar, jam 4.05 pagi. Farid dan Diana berkahwin pada 3 November 2012 dan anak sulung mereka, Che Mad, kini sudah pun berusia dua tahun setengah.

954 dibaca
Berita Harian X