Ahad, 20 Disember 2015 | 4:00pm

Santos bantu Aidil jadi benteng terbaik

(DARI kiri) Farizal Marlias, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Aidil Zafuan Abdul Radzak mengakui gandingannya bersama bekas pemain kelab Jerman, Nuremberg FC, Marcos Antonio Elias Santos antara faktor utama dia dinobatkan sebagai benteng terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015.

"Tanpa Marcos, saya mungkin tidak dapat raih anugerah ini, begitu juga dengan rakan sepasukan yang lain. Bola sepak dimainkan 11 orang dan kami saling bantu antara satu sama lain.

"Dan sudah tentu, ia tidak akan terhenti di sini. Ia akan dijadikan sebagai permulaan untuk saya berusaha keras dan beri yang terbaik buat pasukan," katanya ketika mengenai mengulas anugerah yang dimenanginya itu.

Selain Aidil, beberapa pemain JDT yang memenangi Piala AFC dan Liga Super musim ini turut terpilih.

Mereka adalah Safiq Rahim sebagai Pemain Paling Bernilai dan Pemain Tengah Terbaik, disamping Farizal Marlias (Penjaga Gol Terbaik), Amri Yahyah (Penyerang Terbaik) dan Luciano Figueroa (Pemain Import Terbaik).

Pembimbing mereka, Mario Gomez pula dipilih sebagai Jurulatih Terbaik malah JDT diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas.

"Ini penghargaan buat kami. Mungkin kejuaraan Piala AFC menjadi antara satu faktor skuad dominasi Harimau Selatan pada kali ini," katanya.

Berita Harian X