Isnin, 21 Disember 2015 | 12:03am

Aplikasi 'ShareShare OTT' tingkat masa berbual

PENGGUNA dapat memperluaskan rangkaian perkhidmatan masa berbual menerusi aplikasi 'ShareShare OTT'. - Foto hiasan

SEDANIA Innovator Bhd (Sedania Innovator), penyedia perkhidmatan mudah alih memperluaskan rangkaian perkhidmatan masa berbual menerusi pelancaran aplikasi mudah alih terbaharunya, 'ShareShare OTT'.

Pengarah Eksekutifnya, Firoz Mohd Noor, berkata pelancaran aplikasi terbaharu itu adalah lanjutan daripada pengalaman meluas kumpulan berkenaan dalam menyediakan Perkongsian Masa Berbual (ATS) melalui platform proprietari (pemilikan).

"Kami sudah sedia membina pangkalan pengguna yang kukuh dan mengetahui tingkah laku pengguna menerusi platform ATS itu, yang mana diperoleh menerusi kaedah konvensional iaitu SMS, sejak 10 tahun lalu.

"Justeru, aplikasi 'ShareShare OTT' adalah satu usaha untuk menangani penembusan penggunaan telefon pintar yang semakin meningkat di Malaysia, yang kini mencecah 53.4 peratus merangkumi kira-kira 23.1 juta pengguna pada akhir tahun 2014," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

APLIKASI 'ShareShare OTT' membolehkan pelanggan untuk menambah, memindah dan memohon kredit masa berbual. - Foto hiasan

Beliau berkata, aplikasi terbaharu itu akan membolehkan pelanggan mudah alih prabayar daripada syarikat telekomunikasi utama untuk menambah, memindah dan memohon kredit masa berbual melalui proprietari kredit ShareShare, 'Heartz', sama ada di dalam dan di antara pelbagai syarikat telekomunikasi.

"Ia adalah aplikasi pertama seumpamanya dalam pasaran yang menyediakan kemudahan berkenaan," katanya.

Tambah beliau lagi, platform ATS yang digunakan setakat ini membabitkan sebanyak lima juta transaksi di Malaysia dan syarikatnya yakin menerusi penggunaan aplikasi itu akan memberi lebih insentif kepada pelanggan mudah alih bagi meningkatkan halaju transaksi mereka pada masa depan.

Aplikasi 'ShareShare OTT' juga membantu pengguna untuk menambah nilai kredit mereka melalui perbankan Internet, pemindahan kredit dan permintaan untuk kredit prabayar.

Berita Harian X