Isnin, 21 Disember 2015 | 12:04am

Jodoh Nad, suami bertaut kerana Sherry Alhadad



TIADA lagi apa yang diharapkan oleh pelakon, Farah Nadia Zainal Abidin atau Nad Zainal, 25, daripada perkahwinannya dengan Muhammad Faliq Amiruddin, 27, selain kebahagiaan dan cinta yang dibajai selama ini kekal hingga ke syurga.

Lumrah dalam percintaan, Nad seperti insan lain turut pernah mengalami kegagalan. Begitupun beliau percaya, dirinya juga berhak mengecap keindahan bergelar isteri seperti wanita lain di dunia.

Disatukan tepat jam 3 petang pada 18 Disember lalu, pasangan ini dinikahkan oleh bapa Nad sendiri, Zainal Abidin Abu, di sebuah hotel di Bukit Jelutong. Usai majlis pernikahan, Nad dan Faliq diraikan pada sebuah majlis persandingan di lokasi sama, pada sebelah malamnya.

Cuma atas permintaan dan kehendak keluarga, majlis pernikahan mereka diadakan secara tertutup dengan dihadiri lebih 100 ahli keluarga dan teman rapat masing-masing. Begitupun, beberapa teman media turut diundang menyaksikan detik bersejarah pasangan ini.

Menceritakan kembali detik perkenalan mereka, kata Nad, ia berputik sewaktu dirinya terbabit dalam pementasan teater, Diari Wanita... Episod Kak Ani & Nyonya, yang dipentaskan pada Februari lalu, di Istana Budaya. Dalam teater berkenaan, pelakon ini mendokong watak sebagai setiausaha kepada seorang menteri.

MAJLIS persandingan Nad Zainal dan Muhammad Faliq Amiruddin di Bukit Jelutong pada 18 Disember lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pasangan ini begitupun sudah lama mengenali antara satu sama lain. Kedua-duanya pernah menuntut di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), kira-kira tujuh tahun lalu. Ketika itu, Faliq ialah seniornya di akademi terbabit. Cuma, saat itu hubungan mereka tidak lebih daripada teman sekolej

"Kemuncak perkenalan kami berlaku ketika saya terbabit dengan teater itu. Sewaktu itu jugalah mula terbit rasa cinta dalam diri masing-masing. Ketika itu, beliau (Faliq) kebetulan datang melawat rakan seperjuangan, Sherry Alhadad yang turut berlakon dalam projek berkenaan. Kedua-duanya memang akrab, jadi beliau hadir memberikan sokongan.

"Ketika bertemunya, saya yang memulakan langkah pertama untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Memandangkan masing-masing ketika itu masih solo, jadi tiada salahnya untuk berkenalan. Bagaimanapun, selepas mendapat tahu perkara itu, Sherry dan kawan lain mempersoalkan tahap kesungguhan saya untuk mendekatinya. Mereka cakap, jangan mainkan perasaannya. Sherry memang agak melindungi Faliq kerana mereka amat rapat. Saya katakan kepada mereka kembali, tiada apa perlu dirisaukan kerana kami baru nak berkenalan.

"Tanpa disangka, perkenalan itu akhirnya membawa kami ke jenjang pelamin. Kesungguhan dirinya untuk menyunting saya sebagai suri hidup membuatkan hati saya terbuka untuk menerimanya sebagai suami. Kesederhanaan yang ada padanya juga membuatkan hati saya terpaut," kata Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 ini.

Menurut Nad lagi, sebelum ini mereka juga pernah bekerja bersama-sama dalam produksi drama, Elly dan Epit. Faliq ketika itu menjadi kru drama berkenaan dan Nad pula sebagai seorang daripada pelakonnya.

NAD Zainal bersama suami, Muhammad Faliq Amiruddin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Ketika bekerja menerusi drama berkenaan pun, kami masih berkawan biasa. Beliau pernah menghantar saya balik ke rumah, tetapi masa itu memang tiada apa-apa perasaan. Inilah yang dikatakan kalau sudah namanya jodoh," katanya.

Mengenai Faliq, Nad menyifatkan suaminya sebagai seorang lelaki yang biasa, ringkas dan tidak banyak cakap.

"Memang tiada apa-apa yang luar biasa dalam dirinya. Cuma dalam segala segi, beliau sangat serius dengan apa yang dilakukannya. Kami juga satu kepala. Beliau juga tegas dan kadang-kadang garang. Sifat garangnya akan kelihatan kalau sikap degil saya menyerlah," usiknya.

Sementara itu, pada majlis persandingan mereka, Nad tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir. Emosinya sebagai anak tunggal tidak mampu dibendung.

Selepas 25 tahun hidup bersama ibu dan bapa, kini tiba masanya tanggungjawab menjaga dirinya beralih ke tangan suami dan mempunyai kehidupan sendiri.

"Sebak kerana mengenangkan hidup saya kini tidak lagi bersama-sama ibu dan bapa. Susah untuk saya menggambarkannya. Sebagai anak, saya juga manusia biasa yang tidak lepas daripada membuatkan ibu bapa terasa hati.

NAD Zainal dan Muhammad Faliq bergambar bersama Jihan Musa pada majlis persandingan di Bukit Jelutong pada 18 Disember lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Saya sejujurnya kembali mengimbas kenangan bersama ibu dan bapa, selain susah payah mereka membesarkan diri ini," katanya yang belum merancang untuk berbulan madu, sebaliknya mereka berkemungkinan besar hanya pulang ke kampung masing-masing bagi mengenali saudara mara lain dengan lebih rapat lagi.

Faliq yang ditemui pula memberitahu, sebagai suami yang bekerja di arena seni, beliau tidak menghalang minat Nad untuk terus berlakon.

"Saya memang tiada apa-apa masalah dalam soal itu. Saya faham selok-belok dunia seni. Beliau sudah tentu boleh terus berlakon, asalnya tahu menjaga diri.

"Saya mengenali dirinya pun sebelum beliau menjadi artis. Saya kenal dirinya bukan sebagai Nad Zainal, sebaliknya sebagai Farah Nadia," kata Faliq.

Menyentuh soal cahaya mata, Faliq dan Nad tidak mahu terburu-buru dalam soal itu. Mereka mahu menikmati fasa berdua terlebih dulu. Namun, kedua-duanya juga tidak menolak untuk bergelar ibu bapa jika rezeki berbuat demikian datang lebih awal.

Berita Harian X