Isnin, 21 Disember 2015 | 8:00am

5 mayat ditemui dalam bangkai pesawat

PENTADBIRAN Penerbangan Persekutuan (FAA)
PENTADBIRAN Penerbangan Persekutuan (FAA)

BAKERSFIELD: Pasukan penyelamat mengeluarkan lima mayat daripada bangkai pesawat kecil yang terhempas di kawasan ladang di tengah California selepas hilang dari radar, kata pegawai Ahad.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sedang mencari punca kemalangan itu.

Sherif Mukim Kern, Sarjan Mark King, berkata beliau menjangkakan nama mayat dikeluarkan hari ini.

Jurucakap FAA, Ian Gregor, berkata pengawal trafik udara terputus hubungan dengan pesawat satu enjin Piper PA32 pada kira-kira jam 4.00 petang waktu tempatan pada Sabtu ketika berlepas dari Lapangan Terbang Reid-Hillview di San Jose menuju Lapangan Terbang Eksekutif Henderson di pinggir Las Vegas.

Sehubungan itu, pejabat Sherif berkata, pesawat itu membuat panggilan kecemasan.

Katanya, pasukan mencari menemui bangkai pesawat itu di barat daya Bakersfield kira-kira tiga jam selepas menerima maklumat daripada FAA mengenai pesawat itu yang kali terakhir dikesan kira-kira 16 kilometer ke selatan bandar raya itu.

Seorang pakar kaji cuaca di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di Hanford pula berkata, keadaan cuaca hujan dan mendung di kawasan selatan Bakersfield ketika pesawat berkenaan hilang dari radar. - AP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X