Isnin, 21 Disember 2015 | 11:44am

Aidil tekad tingkat usaha


PENERIMA Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015, (dari kiri); Farizal Marlias bagi Anugerah Penjaga Gol Terbaik, Safiq Rahim bagi Anugerah Pemain Paling Bernilai dan Pemain Tengah Terbaik dan Aidil Zafuan Abd Razak bagi Anugerah Pertahanan Terbaik pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak bertekad akan terus meningkatkan prestasinya walaupun sudah empat kali bergelar pemain pertahanan terbaik negara.

"Memiliki anugerah sepanjang karier sebagai pemain, memang satu perasaan teruja yang tidak dapat dibendung," kata Aidil menerusi kiriman di laman Facebook Johor Southern Tigers semalam.

"Tetapi anugerah ini tidak akan hanya terhenti di situ saja. Anugerah pada malam itu adalah yang keempat buat diri saya dan ia sentiasa dijadikan satu permulaan untuk saya terus berusaha keras memberikan yang terbaik terhadap pasukan.

"Kami sentiasa bermain sebaik mungkin di atas padang dan terima kasih kepada yang memilih saya untuk anugerah ini. Terima kasih juga kepada pasukan yang membentuk saya hingga berada ke tahap ini."

Ia adalah anugerah keempat Aidil bersama tiga pasukan berbeza. Pada tahun 2009 dan 2010, pertahanan kebangsaan itu dinobat pertahanan terbaik ketika mewakili Negeri Sembilan.

Pada tahun 2012 pula dia kembali memegang gelaran itu ketika menyarung jersi Angkatan Tentera Malaysia. Tahun ini kejayaan itu dikecap bersama JDT.

Berita Harian X