Isnin, 21 Disember 2015 | 12:31pm

MATRADE, AEON anjur taklimat eksport produk halal ke Jepun

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama AEON Co (M) Bhd menganjurkan taklimat peluang eksport ke Jepun kepada pengusaha tempatan dalam usaha mengukuhkan lagi produk dan perkhidmatan halal.

Program itu sebahagian usaha MATRADE bagi menggalakkan syarikat tempatan menerokai industri halal di Jepun, selain memanfaatkan jangkaan peningkatan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal sewaktu Olimpik Tokyo 2020 berlangsung mulai 24 Julai hingga 9 Ogos 2020.

Pada sesi taklimat di sini pagi ini, peserta diberi penerangan strategik untuk mengakses pasaran Jepun menerusi AEON, selain keperluan dan prosedur membekal produk ke Pasaraya AEON di Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud, berkata permintaan untuk produk halal dijangka meningkat ketara menjelang Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik yang bakal menarik pelancong beragama Islam dari seluruh dunia.

"Program kerjasama dengan AEON akan membolehkan produk halal Malaysia dipamerkan di 25 cawangan AEON di seluruh Jepun. Untuk eksport ke Jepun, kita mesti patuh syarat yang agak ketat yang ditetapkan kerajaan negara itu," katanya.

MATRADE akan mengambil bahagian dalam FOODEX Japan, pameran makanan ketiga terbesar dunia, yang akan diadakan di Chiba, Jepun pada 8 hingga 11 Mac 2016.

Berita Harian X