Selasa, 22 Disember 2015 | 12:02am
ALAT batu yang dipercayai digunakan untuk memburu, memungut dan menyediakan makanan. - Foto ihsan USM
ARTIFAK siput sedut yang dijumpai di Gua Pelangi. - Foto ihsan USM

Artifak 14,000 tahun di Gua Pelangi, Jelebu



UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila menemui artifak Paleolitik, iaitu zaman prasejarah yang berusia kira-kira 14,000 tahun lalu, yang pertama di selatan Semenanjung.

Artifak dalam bentuk alat batu dan sisa makanan itu ditemui di Gua Pelangi, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan terdekat di Simpang Pertang, Jelebu.

Sebelum ini, bukti mengenai penempatan Paleolitik hanya ditemui di utara Semenanjung Malaysia, iaitu di Perak dan tiga negeri  Pantai Timur.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Profesor Datuk Dr Mohd Mokhtar Saidin, berkata penemuan itu sangat penting kerana mendedahkan bukti Paleolitik di kawasan selatan Semenanjung, sekali gus dapat menerangkan asal usul Negeri Sembilan dan juga daerah Jelebu.

Katanya, artifak itu juga dapat menggambarkan laluan kuno Paleolitik, iaitu pergerakan manusia awal ke selatan tanah air.

Artifak yang ditemui di gua itu ialah 20 alat batu, yang dipercayai digunakan untuk memburu, memungut dan menyediakan makanan.


TAPAK artifak Paleolitik yang ditemui di Gua Pelangi, kira-kira 20 kilometer dari pekan terdekat di Simpang Pertang, Jelebu. - Foto ihsan USM

"Alat batu berkenaan yang kini masih di peringkat analisis juga mempunyai persamaan dengan alat batu berusia 14,000 tahun di tapak di Perak dan negeri Pantai Timur," katanya kepada BH.

Prof Mohd Mokhtar berkata, artifak lain yang ditemui ialah lebih 50 kilogram sisa makanan, yang kebanyakan adalah siput sedut sungai serta tulang babi hutan, monyet dan rusa.

Kewujudan artifak berkenaan, katanya, menunjukkan ada kehidupan manusia akhir Paleolitik di situ, namun setakat ini, pihaknya belum menemui rangka manusia.

"Gua Pelangi menjadi pilihan manusia ketika itu kerana bukti prasejarah di seluruh dunia memilih gua sebagai  rumah semula jadi yang menyediakan bumbung dan dinding.

"Selain itu, gua menjadi tempat pengebumian," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan wujud artifak lain di sekitar Gua Pelangi, tetapi ia memerlukan kajian lebih terperinci, yang akan dilakukan tidak lama lagi.


PROFESOR Datuk Dr Mohd Mokhtar Saidin menjalankan kajian di Gua Pelangi. - Foto ihsan USM

Mengulas penemuan itu, katanya, USM mendapat maklumat mengenai kewujudan gua itu daripada seorang pengurus sebuah syarikat di FELDA Pasoh 4, Jelebu.

"Kami melakukan tinjauan awal pada 11 hingga 13 April tahun lalu, yang mendapati ada potensi untuk melakukan kajian lanjut di situ.

"Penggalian dilakukan sebanyak dua kali pada tahun ini, iaitu di antara 6 hingga 30 April serta di antara 28 Mei hingga 12 Jun lalu. 

"Kawasan tanah di gua itu digali sedalam kira-kira dua meter dari permukaan dengan lapisan terdalam memberikan tarikh kronometrik sekitar 14,000 tahun lalu," katanya yang mengetuai pasukan itu bersama 10 kakitangan pusat itu, 12 kakitangan media USM, seorang pelajar sarjana arkeologi dan 10 penduduk tempatan.

Sementara itu, pengurus sebuah syarikat di FELDA Pasoh 4, Jelebu, yang dinyatakan Prof Mohd Mokhtar itu adalah Nor Azlini Mohd Ali.


KAKITANGAN melakukan kajian di tapak artifak Paleolitik di Gua Pelangi. - Foto ihsan USM

Bertemu dengannya, Nor Azlini yang bertugas sebagai Pengurus Azliny Team Buliding - Outdoor Adventure, berkata sejak kecil, beliau sering diberitahu mengenai kewujudan Kota Gelami di kawasan gua itu, tetapi kisah itu berlalu begitu sahaja.

Katanya, ramai yang mendengar kisah itu, tetapi ia terus kekal sebagai kisah rakyat kerana tiada penyelidikan dan usaha mencari kota itu. 

Beliau yang mengusahakan aktiviti perkhemahan, kemudiannya berhasrat untuk memajukan kawasan sekitar gua berkenaan.

"Saya berjumpa Pegawai Daerah Jelebu pada tahun lalu dan menyatakan perancangan itu. Beliau beritahu idea itu bagus, tetapi menyarankan usaha memajukan kawasan itu dengan aktiviti rekreasi harus mempunyai kaitan rapat dengan penyelidikan," katanya.

Nor Azlini kemudian menghantar e-mel kepada Prof Mohd Mokhtar, memaklumkan mengenai kisah rakyat itu dan kemungkinan gua itu mempunyai nilai arkeologi jika dikaji.

Katanya, ini termasuk ciri batu kapur di gua itu, suatu keadaan yang didakwanya tidak ada dalam sistem pemetaan geologi negara ini.

"Saya bersyukur kerana Prof Mohd Mokhtar berminat dan selebihnya adalah sejarah kerana berjaya menemui artifak itu," katanya.


KERJA cari gali di tapak artifak Paleolitik di Gua Pelangi. - Foto ihsan USM

Nor Azlini berkata, penyelidikan itu membabitkan perbelanjaan yang besar dan beliau turut membantu dengan mengeluarkan wang sendiri.

"Sebagai anak FELDA, saya bangga Jelebu bakal berada dalam peta dunia arkeologi kerana mempunyai artifak yang penting itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Jalaluddin Alias, mengakui amat gembira dengan penemuan bersejarah itu.

"Siapa sangka Negeri Sembilan yang kecil turut mencatatkan penemuan yang penting. Artifak itu juga penting bagi sejarah negara," katanya yang melawat gua itu, baru-baru ini.

Beliau berkata, penemuan artifak itu juga boleh memajukan pelancongan di Jelebu kerana sudah tentu ramai ingin melihat tapak penempatan manusia kira-kira 14,000 tahun lalu.

Berita Harian X