Selasa, 22 Disember 2015 | 8:01am

Trump tuntut Clinton minta maaf


CALON presiden daripada parti Republican, Donald Trump. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Calon presiden daripada parti Republican, Donald Trump menuntut pencabarnya daripada parti Democrat, Hillary Clinton supaya meminta maaf kerana mendakwa militan IS menggunakan video ulasan hartawan itu mengenai umat Islam untuk merekrut anggota baharu.

Trump memberitahu rancangan 'Today Show' terbitan NBC pada Isnin bahawa 'Hillary menipu mengenai segala-galanya.'

Beliau berkata: "Anda bercakap mengenai kematian. Anda bercakap mengenai rakaman dan video yang tidak wujud."

Ketika perbahasan calon presiden Democrat pada Sabtu, Clinton berkata, Trump menjadi perekrut terbaik IS dan militan itu akan menunjukkan video Trump menghina Islam untuk merekrut lebih ramai militan.

Sementara itu, jurucakap pasukan kempen Clinton, Brian Fallon, menegaskan bekas Setiausaha Negara Amerika itu tidak akan meminta maaf dengan Trump. - AP

Berita Harian X