Jumaat, 10 Oktober 2014 | 5:34pm

Jumlah hutang isi rumah terus meningkat pada kadar perlahan

KUALA LUMPUR: Jumlah hutang isi rumah terus meningkat pada kadar paling perlahan sejak 2010, sebanyak 9.9 peratus kepada RM904.3 bilion dan merangkumi 86.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal pada akhir Jun 2014.

Kadar hutang isi rumah menunjukkan penurunan daripada 11.5 peratus atau RM855.9 bilion yang dicatat pada akhir 2013, menurut laporan ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan oleh kementerian kewangan.

Hutang isi rumah termasuk pinjaman, terutama yang diberikan oleh sistem perbankan, institusi kewangan pembangunan, Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan dan institusi kredit lain.

"Bagaimanapun, risiko kepada kestabilan kewangan domestik kekal terkawal disokong oleh aset kewangan isi rumah yang lebih daripada mencukupi, keadaan pasaran buruh dan pertumbuhan pendapatan yang stabil," menurut laporan yang dikeluarkan oleh kementerian kewangan.

Laporan ekonomi 2014/2015 ini dikeluarkan sempena pembentangan belanjawan 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang adalah Menteri Kewangan.

Aset kewangan isi rumah terus mencatatkan peningkatan sebanyak 8.1 peratus kepada RM1,996.9 bilion pada akhir Julai 2014, berbanding RM1,902.6 bilion pada akhir 2013.

Dalam tempoh yang sama, aset kewangan isi rumah menyumbang lebih dua kali ganda daripada hutang isi rumah.

Daripada jumlah aset kewangan, 41.6 peratus terdiri daripada deposit dan instrumen mirip deposit, memetik laporan ekonomi berkenaan.

"Ketersediaan aset cair memberi fleksibiliti kepada isi rumah untuk bertahan sementara dalam menghadapi kejutan pendapatan, seterusnya menjamin keupayaan pembayaran balik hutang mereka," kata laporan tersebut.

Pada akhir Julai 2014, nisbah pinjaman isi rumah terjejas bersih bertambah baik kepada 1.2 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah dalam sistem perbankan, berbanding 1.3 peratus pada akhir 2013.

- BERNAMA

Berita Harian X