Rabu, 23 Disember 2015 | 5:45pm

Kisah ibu bapa beri ilham Osman arah Langit Cinta

PARA pelakon bersama pengarah serta krew produksi di majlis tayangan perdana filem Langit Cinta di Cathay Cineplex, eCurve. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PARA pelakon bersama pengarah serta krew produksi di majlis tayangan perdana filem Langit Cinta di Cathay Cineplex, eCurve. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Bermula 7 Januari depan, sebuah lagi filem arahan Osman Ali akan menemui penonton di pawagam.

Selepas Pilot Cafe, Jwanita dan Sinaran, pengarah Ombak Rindu itu menampilkan pula Langit Cinta yang membariskan pelakon hebat seperti Nur Fazura, Farid Kamil, Fauziah Ahmad Daud, Dian P Ramlee, Normah Damanhuri, Zaidi Omar dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Turut membintangi filem terbitan Astro Shaw dan Nuansa itu ialah pelakon yang sebelum ini dikenali menerusi drama Ariana Rose, Keith Foo.

Ketika ditemui pada majlis pratonton filem itu di Mutiara Damansara, semalam, Osman mengaku dia amat bertuah apabila dapat mengumpulkan beberapa bintang berpengalaman dan artis popular semasa dalam karyanya kali ini.

Beliau juga memberitahu, filem berkenaan turut menyelitkan kisah benar mengenai kehidupan dilalui oleh ibu dan bapanya, walaupun bukan secara keseluruhan.

"Saya sendiri amat mengagumi ayah dan ibu saya. Ayah saya ialah orang Malaysia yang bertemu jodoh dengan ibu, yang berasal dari sebuah pulau di selatan Thailand. Mereka berjaya membina keluarga yang bahagia, sampailah sekarang.

"Khadeja watak lakonan Fazura sendiri memberikan bayangan karakter ibu dan arwah nenek saya. Khadeja ialah lambang wanita yang kuat, tetapi tidak terlepas daripada berdepan rintangan. Begitupun beliau tetap tabah meneruskan kehidupan," kata Osman yang mengaku, ada antara dialog dituturkan oleh Khadeja dan Mak Piah (Fauziah) diambil daripada petikan perbualan ibu serta neneknya.

Sementara itu, menyentuh mengenai filem berkenaan yang dikatakan agak klise apabila memaparkan babak meruntun jiwa dan kisah malang yang bertimpa-timpa, Osman tetap yakin dengan garapannya.

"Kalau bercakap mengenai klise, ia bererti kita menyajikan atau melihat benda yang sama. Saya tidak cakap filem ini klise, sebaliknya terpulanglah kepada tafsiran penonton nanti.

"Saya membikin naskhah ini dengan mengangkat jalan penceritaan seperti filem Melayu, Indonesia, Thailand, Hindi dan Tamil. Saya menghasilkan filem mengenai kehidupan orang Melayu, yang dekat dengan penonton dan mudah diterima," ujarnya.

Filem yang dirakam di Pulau Tuba, Kedah, pada Ogos 2014 itu mengisahkan perjalanan hidup seorang gadis desa, Khadeja, dalam mencari cinta sejati. Dia bertemu Aliff (Keith Foo), pemuda daripada keluarga berada dan sanggup melepaskan segala-galanya demi cinta. Namun, cinta suci mereka ditentang oleh keluarga si lelaki, yang memisahkan ikatan mereka sebagai suami-isteri.

Dengan ketiadaan Aliff di sisi, Khadeja terpaksa menguatkan semangat dan jiwa dalam mengharungi pelbagai dugaan hidup, sendirian. Saat dirinya hampir berputus harap pada cinta lelaki itu, muncul Budiman (Farid Kamil) yang menawarkan diri untuk merawat luka di hati wanita berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X