Rabu, 23 Disember 2015 | 6:13pm

Serpa kekal 14 pemain futsal kebangsaan

Ketua jurulatih skuad futsal negara, Marcelo Serpa.

KUALA LUMPUR: Semua 14 pemain futsal kebangsaan yang beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Qatar di Doha baru-baru ini, dikekalkan untuk latihan pusat skuad itu di Shah Alam bermula 3 Januari ini.

Ketua jurulatih negara, Marcelo Serpa turut memanggil semula dua pemain kelab Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang tidak dibawa ke Qatar iaitu penjaga gol, Mohd Firdaus Razali dan Muhammad Afif Asyraf Muhd Halil.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi laman sesawang mereka www.fam.org.my memaklumkan jurulatih itu turut memanggil empat muka baharu iaitu pemain Melaka, Muhammad Addli Che Husin, Helmi Imran Mohd Nor (MPSJ), Mohd Ridhwan Zainal (Kuala Lumpur MK) dan pemain Sabah, Mohd Iftitah Ahmad.

Malaysia tewas masing-masing dengan keputusan 2-6 dan 3-4 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Doha pada 14 dan 16 Disember lalu.

Sesi latihan pusat berkenaan adalah persiapan awal skuad negara sebelum menghadapi pusingan akhir Kejohanan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 21 Februari 2016 di Uzbekistan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Jepun selain naib juara Kejuaraan Futsal ASEAN 2015, Australia serta Qatar di kejohanan yang membabitkan 16 pasukan dan dibahagikan kepada empat kumpulan.

Skuad negara akan memulakan cabaran berdepan Australia pada 11 Februari diikuti aksi bertemu Jepun pada 13 Februari sebelum menamatkan pusingan awal menentang Qatar, dua hari kemudian.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke suku akhir yang dijadual berlangsung pada 17 Februari disusuli aksi separuh akhir (19 Februari) manakala perlawanan akhir pada 21 Februari.

Lima pasukan terbaik kejohanan ini layak ke pusingan akhir Piala Dunia Futsal Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) 2016 di Colombia dari 10 September hingga 1 Oktober tahun depan.

-- BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X