Rabu, 23 Disember 2015 | 6:35pm

Tambah pegawai di pintu masuk Malaysia-Singapura


TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong (dua dari kiri) diiringi Ketua Pengarah Kastam,Datuk Seri Khazali Ahmad (tiga dari kiri) melihat anggota Kastam membuat pemeriksaan sempena lawatan kerja di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan menambah antara 200 hingga 300 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Imigresen di dua pintu masuk utama Malaysia-Singapura, bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Chua Tee Yong, berkata pertambahan itu membabitkan laluan Tambak Johor dan Linkedua bagi membantu kelancaran pemeriksaan khususnya di pihak Malaysia.

"Pertambahan bilangan pegawai ini akan membolehkan lebih banyak laluan dibuka dan pemeriksaan dibuat dengan pantas bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

"Pada masa sama, ia bertujuan meningkatkan aspek keselamatan bagi mereka yang keluar dan masuk ke negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Bangunan Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Minggu lalu, kesesakan luar biasa di Tambak Johor membabitkan laluan masuk dan keluar Singapura mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

Difahamkan, kesesakan itu berlaku berikutan tindakan pihak berkuasa Singapura memperketatkan kawalan keselamatan dengan menjalankan pemeriksaan rapi ke atas setiap kenderaan yang memasuki republik berkenaan.

Berita Harian X