Khamis, 24 Disember 2015 | 12:02am
MOHD Khairuddin Che Rani
YURI Azzarii
YURI Azzarii
DARI kanan; Pengerusi Maybank dan Yayasan Maybank, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor; Pengarah Universiti Malaya, Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan dan Mohd Khairuddin Che Rani. - Foto Shiraz Ali

Jasad lemah, ilham gagah



MELUKIS memerlukan kreativiti dan bakat, bagi menghasilkan kerja seni bermutu tinggi dan kepakaran itu tidak ada pada semua orang.

Namun, ada kala bakat itu perlu diterokai dalam diri masing-masing supaya kelebihan yang ada tidak disia-siakan.

Sama seperti kelebihan yang ada pada golongan orang kurang upaya (OKU), pada pandangan mata kasar mereka kelihatan lemah dan tiada kebolehan tetapi bukanlah mustahil, apabila bakat dicungkil kekurangan yang ada mengatasi segala-galanya.

Tiga insan istimewa, Mohd Khairuddin Che Rani, 26; Yuri Azzari Yuri Zaharin, 25; dan Clement Ooi Kit Meng, 26; membuktikan kenyataan itu.

Ketiga-tiga anak muda ini mempunyai bakat tinggi dalam seni lukisan.

Hasil karya mereka begitu mengagumkan dan bagi peminat lukisan khususnya, pasti akan terpesona dengan daya kreativiti yang diserlahkan ketiga-ketiga artis berbakat besar ini.


MOHD Khairuddin Che Rani menggunakan kaki untuk menghasilkan lukisan menarik.

Guna kaki melukis

Mohd Khairuddin yang mengalami kecacatan pada bahagian tangan, mempunyai minat mendalam terhadap seni lukisan sejak sekolah rendah.

Dia yang berasal dari Kelantan mengakui, setiap hasil seninya dihasilkan asli menggunakan kedua-dua belah kaki dan memerlukan masa hampir sehari untuk menyiapkan satu lukisan.

Katanya, melukis adalah antara pekerjaan dan juga hobi yang dilakukan ketika waktu lapang, selain gemar menghabiskan masa menikmati keindahan semula jadi di sekitar kawasan kediamannya.

"Dengan melukis, saya dapat menghilangkan tekanan dengan menjiwai setiap lukisan yang dihasilkan. Setiap satu mempunyai nilai berharga yang sukar didapati di mana-mana. Lazimnya, ketika melukis saya memerlukan keadaan yang aman dan damai barulah terhasil seni paling abadi," katanya kepada FAMILI ketika ditemui pada pameran lukisan Nukilan Jiwaku yang diadakan di Balai Seni Maybank, Kuala Lumpur.

Cuba biasakan diri

Mohd Khairuddin berkata, pada mulanya agak kekok menggunakan kaki untuk menulis dan melukis, namun selepas melakukannya hampir setiap hari semua itu menjadi mudah seperti 'alah bisa tegal biasa'.

Walaupun hanya beliau seorang saja yang mengalami kecacatan dalam kalangan ahli keluarga, ia tidak mematahkan semangatnya untuk tampil ke depan menunjukkan kebolehan tersendiri.


PENGERUSI Maybank dan Yayasan Maybank, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor (tengah); Pengarah Universiti Malaya, Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan (2 dari kanan); Dr Sabzali Musa Kahn (kiri); dan Mohd Khairuddin Che Rani (kanan). - Foto Shiraz Ali

"Saya mula melukis ketika berusia 10 tahun. Ketika itu keadaan agak pelik kerana kekurangan saya berbanding rakan lain. Tetapi, semua cikgu, rakan dan ahli keluarga sentiasa menyokong apa yang saya buat dan ini membuatkan semangat saya berkobar-kobar untuk menceburi bidang ini dengan lebih mendalam," kata anak ketiga daripada lapan adik-beradik itu.

Berkat daripada sifat sabar, tekun dan berserah kepada Tuhan, kini Mohd Khairuddin bukan saja dikenali ramai, malah pernah memenangi anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan. Hasil lukisannya juga mampu memberikan pendapatan lumayan.

"Kini saya aktif menyertai pameran lukisan anjuran pelbagai badan bukan kerajaan dan ada juga menghasilkan teka-teki bergambar serta kalendar jika menerima tempahan. Dalam sebulan, saya boleh menghasilkan 10 hingga 20 lukisan mengikut rekaan. Setakat ini, corak abstrak paling saya gemari dan menjadi rebutan orang ramai jika dipamerkan," katanya.

Mahu diterima masyarakat

Sementara itu, Kit Meng yang mengalami autisme sejak kecil juga tidak kurang hebat dalam menghasilkan karya lukisan terbaik. Walaupun kurang pendedahan sosial, bakatnya dalam bidang lukisan tidak mampu ditandingi rakan seusianya.


DARI kanan, Pengerusi Maybank dan Yayasan Maybank, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor; Pengarah Universiti Malaya, Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan; artis, Clement Ooi Kit Meng; dan ibu beliau, Annie Kam Yoke Chun. - Foto Shiraz Ali

Justeru, ibunya, perunding pemasaran, Annie Kam Yoke Chun, memasang impian mahu melihat anaknya, berbakti untuk industri seni pada suatu hari nanti.

Yoke Chun berkata, beliau berdepan cabaran besar membesarkan Kit Meng, tambahan ada tanggungan anak yang lain dan tiada pendedahan mengenai penjagaan anak istimewa.

"Sesetengah orang berfikir anak saya normal, tapi sebenarnya dia berada dalam dunianya sendiri tanpa menghiraukan keadaan di sekelilingnya.

"Kadangkala, anak saya pernah dimarah kerana kurang sopan di tempat awam, namun selepas mengetahui keadaan sebenar, mereka meminta maaf," katanya yang mempunyai tiga anak.

Menang anugerah

Bakat Kit Meng mula dikesan ketika berumur lima tahun apabila dia gemar melukis kartun 'doodle' ketika ada waktu lapang.

Yoke Chun berkata, Kit Meng akan berasa tenang dan tenteram jika melukis kartun atau seumpamanya pada waktu lapang. Baginya, keadaan sunyi memberi ilham untuk menghasilkan sesuatu seni.


CLEMENT Ooi Kit Meng pada majlis Nukilan Jiwaku Pengijazahan dan Pameran 3 Artis Kurang Upaya di Balai Seni Menara Maybank, Jalan Perak, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

"Apabila meningkat dewasa, dia lebih berani melukis sesuatu yang sukar seperti garisan dan benda asli seperti bunga. Dia semakin seronok dan menganggap ia seakan-akan hidup.

"Setakat ini, dia pernah memenangi beberapa anugerah hampir setiap tahun dan menghantar hasil kerja seninya ke luar negara seperti pameran di Shanghai.

"Bakatnya saya tidak akan sia-siakan dan mengharapkan supaya kerjaya seninya boleh dijual dan diterima masyarakat supaya boleh hidup normal," katanya.

Cita-cita adakan pameran solo

Yuri Azzary adalah anak autisme dan dia bertuah kerana bakat terpendam dimiliki dapat dikesan oleh ayahnya, Yuri Zaharin Wahab, 52.

Yuri Zaharin yang juga ketua pegawai eksekutif di syarikat teknologi maklumat, mula menyedari bakat terpendam anaknya itu sekitar usia lima tahun. Lalu, mendaftarkannya ke kelas melukis bagi memberi lebih pendedahan.


YURI Azzarii gembira dengan hasil lukisannya.

Sebagai bapa, dia mahu melihat anaknya, gembira melakukan sesuatu yang digemari.

"Sejak umur lima tahun, dia sangat teruja dan seronok melukis kartun serta apa yang dilihat di sekelilingnya. Baginya, semua itu sumber dan inspirasi untuk melukis sesuatu, malah menenangkan jiwanya.

"Pernah terjadi suatu ketika dulu, kami melalui stesen minyak selepas pulang dari satu majlis, apabila sampai di rumah dia mengambil pen dan kertas lalu melukis rupa sebenar stesen minyak itu secara terperinci. Dari situ, saya lihat kebolehan tersembunyi yang ada padanya dan percaya bakat terpendam itu boleh dibawa jauh," katanya yang turut membawa anaknya berjumpa pelukis terkenal, Raja Azhar Idris untuk belajar melukis.

Hargai bakat

Yuri Zahari bercita-cita mahu mengadakan pameran lukisan persendirian buat Yuri Azzary bagi mempamerkan hasil seninya. Ia juga sebagai tanda menghargai bakat terpendam yang dimiliki.

"Apa yang kami lihat, kebolehan anak saya ini sangat luar biasa. Jika memasuki pertandingan atau pameran lukisan, hasil kerja seninya sering menjadi tumpuan orang ramai.


YURI Azzarii bersama bapanya, Yuri Zahrin Wahab pada majlis Nukilan Majlis Pengijazahan Jiwaku dan Pameran 3 Artis Kurang Upaya di Balai Seni Menara Maybank, Jalan Perak, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

"Setakat ini, sudah ada 30 lukisan yang sedia untuk dipamerkan buat khalayak ramai dan saya mengharapkan pembabitan orang ramai bagi 'menghidupkan' semula industri seni tanah air. Saya mahu lakukan yang terbaik buatnya supaya kerjaya sebagai pelukis boleh dimanfaatkan sebagai mata pencarian rezeki apabila meningkat dewasa," katanya.

Bantu artis OKU tingkatkan keupayaan

Pameran lukisan Nukilan Jiwaku yang diadakan di Balai Seni Maybank, Kuala Lumpur, baru-baru ini, mempamerkan sebanyak 60 karya seni oleh 29 artis OKU.

Pada pameran itu juga, semua artis mengambil bahagian menerima sijil tamat pengajian masing-masing selepas menghadiri program latihan intensif dalam bidang lukisan anjuran Yayasan Maybank dengan kerjasama Majlis Rehabilitasi Malaysia (MCR) dan Universiti Malaya (UM).

Pengajian itu bermula November 2014 hingga Mac 2015 dan diadakan di Akademi Pengajian Melayu, UM. Antara penerima sijil ini, termasuklah mereka yang mengalami masalah kecacatan fizikal dan ketidakupayaan belajar serta mendengar.


DARI kanan; Pengerusi Maybank dan Yayasan Maybank, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor; Pengarah Universiti Malaya, Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan; Yuri Azzarii; dan bapanya, Yuri Zaharin Wahab. - Foto Shiraz Ali

Pengerusi Maybank dan Yayasan Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata menerusi pameran itu ia diharap membawa perubahan kepada kehidupan artis OKU, di samping akan memberi inspirasi kepada semua masyarakat.

"Kami percaya untuk menghidupkan misi dalam menginsankan perkhidmatan kewangan, kami perlu melepasi sempadan perbankan, mendekati komuniti di mana kami berkhidmat dan berperanan penting dalam meningkatkan keupayaan mereka yang memerlukan" katanya ketika berucap pada pameran berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Akademi Pengajian Melayu UM, Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan, Pensyarah Kanan, Koordinator Pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah di Akademi Pengajian Melayu UM, Prof Dr Sabzali Musa Khan; serta Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin.

Berita Harian X