Khamis, 24 Disember 2015 | 11:18am

Penemuan artifak di Gua Pelangi perlu diketengahkan


TAPAK ekskavasi Gua Pelangi yang mencatat sejarah apabila penemuan artifak zaman Paleolitik berusia kira-kira 14,000 tahun lalu di Felda Pasoh 4, Jelebu, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Penemuan artifak Paleolitik, tinggalan zaman prasejarah dipercayai berusia kira-kira 14,000 tahun lalu di Gua Pelangi, Felda Pasoh 4, Jelebu adalah satu penemuan menarik yang perlu diketengahkan dan dibangunkan.

Kurator Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Aziz Mohd Gorip, berkata penemuan itu adalah sesuatu yang baharu dan mempunyai nilai sejarah yang jarang terdapat di negeri itu.

"Walaupun artifak itu dijumpai di negeri ini, mengikut Akta Warisan 2005, ia tertakluk di bawah Jabatan Warisan Negara (JWN) dan semua penemuan artifak adalah di bawah tanggungjawab JWN," katanya di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan BH mengenai penemuan artifak Paleolitik, tinggalan zaman prasejarah dipercayai berusia kira-kira 14,000 tahun lalu di Gua Pelangi oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Penemuan artifak dalam bentuk alatan batu dan sisa makanan itu adalah yang pertama di selatan Semenanjung selepas sebelum ini ditemui di Perak dan pantai timur.

Aziz yang juga Pemangku Pengarah LMNS berkata sebenarnya Gua Pelangi telah lama dijumpai penduduk setempat, malah pihaknya pernah ke gua itu beberapa tahun lalu.

Katanya pada peringkat awal, apabila dimaklumkan penduduk setempat mengenai penemuan gua batu kapur itu, pihaknya dan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) berhasrat untuk menjadikan Gua Pelangi sebagai produk pelancongan baharu negeri ini.

"Bagaimanapun, JWN, USM, LMNS dan LPNS perlu berbincang lebih lanjut mengenainya," katanya.

Beliau berkata mengikut penduduk di situ, gua itu juga dipercayai pernah menjadi tempat persembunyian, persinggahan dan laluan pengganas komunis satu ketika dahulu.

"Ini berikutan kami menemui bekas air, kasut dan ubat-ubatan pengganas komunis ketika kami membuat ekspedisi ke gua itu pada 2013. Saya difahamkan Felda Pasoh 4 dibuka pada 1975," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Datuk Seri Hasan Malek berpendapat pihak berwajib seperti LPNS dan JWN mesti mengambil inisiatif dan bertindak cepat dalam memulihara kawasan berkenaan.

"Ini merupakan penemuan yang bersejarah kerana ia menceritakan asal usul nama Kuala Klawang dan Jelebu.

"Selain itu, kajian mendalam perlu dijalankan di Gua Pelangi ini memandangkan penemuan artifak yang berusia 14,000 tahun pastinya menyimpan banyak rahsia negeri dan negara yang belum pernah diceritakan kepada umum," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah berkata pihak yang berwajib juga perlu menjadikan tempat ini sebagai warisan negeri dan seterusnya mencari dana untuk mencantikkan Gua Pelangi ini supaya ia boleh dijadikan satu daripada produk pelancongan negeri.

"Para penulis dan pengkaji pula, ambil peluang dan ruang yang ada untuk menceritakan kisah ini kepada umum agar sejarah negeri ini dapat dikongsi bersama," katanya. - BERNAMA

48 dibaca
Berita Harian X