Khamis, 24 Disember 2015 | 2:25pm

Kabinet Jepun lulus rekod bajet fiskal terbesar

PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe.- Foto AFP

TOKYO: Kabinet Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe hari ini meluluskan bajet fiskal terbesar 2016 bagi menjana pertumbuhan dan pendapatan cukai lebih tinggi bagi mencapai sasaran memulihkan ekonomi dan mengawal hutang awam yang besar.

Jumlah perbelanjaan bagi tahun fiskal bermula 1 April ialah 96.72 trilion yen (AS$799.93 bilion), berbanding rancangan awal 96.3 trilion yen.

Draf bajet, yang keempat sejak Abe kembali berkuasa lewat 2012, menampilkan rekod perbelanjaan kebajikan bagi menangani masyarakat tua dan ketenteraan yang mencecah lima trilion yen buat pertama kalinya.

Cadangan bajet itu adalah cabaran dihadapi Abe dalam memberi keseimbangan antara keperluan untuk merangsang ekonomi menjelang pilihan raya dewan negara dan pada masa sama bagi membendung beban hutang besar negara itu.

Menteri Kewangan Taro Aso, berkata bajet itu sejajar sasaran Jepun untuk mencapai lebihan bajet utama, tidak termasuk jualan bon baharu dan pembayaran hutang, dalam fiskal 2020.

"Bajet ini sesuai sebagai langkah pertama ke arah rancangan fiskal kami, sementara menguruskan kedua-dua pemulihan ekonomi dan pengukuhan fiskal," katanya.

Pendapatan cukai dianggarkan pada paras tertinggi 25 tahun sebanyak 57.6 trilion yen diraih daripada kenaikan keuntungan korporat, membolehkan Tokyo mengurangkan pinjaman baharu ke paras terendah lapan tahun pada 34.43 trilion yen. - REUTERS

Berita Harian X