Khamis, 24 Disember 2015 | 4:36pm

Pengeluaran produk perindustrian Singapura susut

SINGAPURA: Produk Pengeluaran Singapura pada November jatuh lebih besar daripada jangkaan daripada setahun lalu, yang mana ini dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi suku keempatnya, selain bayangan kepada tinjauan yang lebih lemah bagi 2016.

Pengeluaran sektor pembuatan Singapura menguncup 5.5 peratus pada November daripada setahun lalu, demikian menurut data dikeluarkan Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB), lebih lemah daripada purata ramalan pasaran dengan penyusutan 2.7 peratus.

Pada asas pengeluaran bulanan ia menguncup 3.6 peratus. Ramalan purata ialah pengembangan 0.8 peratus.

November adalah bulan ke sepuluh berturut-turut pengeluaran pembuatan mencatat penguncupan, yang mana bagi tempoh Januari-November ia jatuh 4.6 peratus daripada setahun lalu.

"Siaran hari ini mengesahkan pandangan kami akan permintaan luaran lemah dan penyelarasan inventori perlahan berkemungkinan akan menyebabkan momentum pertumbuhan semakin perlahan pada 2016," kata Rahul Bajoria, pakar ekonomi di Barclays Bank, dalam satu nota.

Weiwen Ng, pakar ekonomi di ANZ, berkata permintaan global yang lemah bagi barangan republik itu, yang termasuk farmaseutikal dan elektronik, berkemungkinan mendapat kesan sektor berorientasikan luaran pada suku keempat.

Sementara itu, sektor perkhidmatan dijangka tidak mendapat sokongan yang dilihat pada suku ketiga, apabila ia dirangsang oleh perayaan sambutan ulang tahun ke 50 kemerdekaan Singapura.

"Ia sejajar pendapat kami bahawa suku keempat akan mencabar," kata Ng.

Beliau menjangka pertumbuhan ekonomi semakin perlahan kepada 1.1 peratus tahun-ke-tahun pada suku keempat, dan pertumbuhan tahunan bagi 2015 berkemungkinan sekitar 1.9 peratus.

Pada suku ketiga, Pengeluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 1.9 peratus tahun-ke-tahun.

Unjuran KDNK Singapura bagi suku keempat akan dikeluarkan pada Januari.

Permintaan global yang lembap memberi kesan kepada sektor pembuatan Singapura, yang menyumbang kira-kira satu perlima ekonomi republik itu.

Pengeluaran elektronik susut 11.1 peratus pada November daripada setahun lalu, manakala pengeluaran farmaseutikal jatuh 9.0 peratus.

Harga minyak yang lebih rendah juga memberi kesan kepada pengeluaran perindustrian, memberi kesan kepada aktiviti penggerudian.

Pengeluaran dalam segmen marin dan kejuruteraan pesisir pantai jatuh 20.1 peratus pada November daripada setahun lalu, kata EDB.

Sektor pembuatan menarik turun pertumbuhan Singapura pada 2015. - Reuters

Berita Harian X