Jumaat, 25 Disember 2015 | 12:12am

Abil `rampas' kekasih anak?


SEKITAR jam 9 pagi ini, pelakon Nabila Huda, 31, bakal menamatkan zaman janda apabila bernikah dengan seorang tauke restoran pada majlis ringkas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Selama ini, anak bintang rock lagenda Amy Search ini mengunci mulut mengenai hubungan cinta bersama Mohd Izwan Johar, 32, yang mengusahakan kafe hipster popular, Kulcats di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya.

Membuka kisah cintanya kepada BH Plus, Nabila yang mesra disapa Abil memberitahu, segala-galanya bermula dua setengah tahun lalu.


NABILA bersama Izwan.

Nabila mengaku, jika diikutkan, dia dan Izwan sudah lama berkenalan, namun tidak berkesempatan untuk menjadi lebih rapat.

"Ditambah pula dengan sikap Izwan yang pemalu dan jenis yang tak gemar berbual dengan perempuan, jadi hubungan itu berlalu begitu saja.

"Dipendekkan cerita, suatu hari, Izwan memberikan kemeja-T jenama Kulcats melalui teman saya, Niesa Khalil. Tujuan dia beri baju itu memang ikhlas. Pernah sekali, ketika saya bertemu dengannya, saya lihat dia lelaki yang sangat baik," katanya.

Nabila berkata, pada awal perkenalan, mereka sekadar kawan biasa.

"Saya lihat dia macam tak berminat nak berkawan dengan saya. Lama kelamaan, saya memberanikan diri bertanya soalan mengenai hal kahwin.


NABILA bersama bakal suaminya, Izwan selain teman yang hadir pada malam berinai.

"Saya tanya kepada dia, bila nak kahwin. Dia selamba menjawab lagi dua tahun. Dalam nada serius saya menjawab, okay saya tunggu awak," katanya.

Nabila berkata, ketika itu, dia melihat reaksi Izwan agak pelik.

"Saya fikir, dia mungkin berasakan saya gila dengan menjawab begitu. Dia jawab, suka hati awaklah.

"Saya tak sangka daripada perbualan itu, saya sebenarnya sanggup menunggu dia selama dua tahun seperti yang dituturkan Izwan," katanya.

Kongsi Nabila lagi, Izwan tidak melamarnya jauh sekali melakukan babak romantis melutut di hadapan pasangan seperti yang dilakukan mana-mana kekasih.

"Selepas dua tahun berkenalan, dia hanya memberi tarikh tepat hari nikah dan tempat kami akan bernikah," katanya.


NABILA pada malam berinai.

Mengulas mengenai karakter bakal suaminya itu, Nabila menyifatkan Izwan sebagai lelaki yang terlalu baik.

Akuinya, jejaka itu banyak mengubah dirinya menjadi lebih baik.

"Kehadirannya memang sangat membahagiakan saya. Dia lelaki yang saya rasa wajar dan bernilai untuk didengari setiap kata nasihatnya. Saya ini memang jenis wanita yang degil.

"Namun, dengan Izwan, hati saya jadi lembut dan boleh ikut cara dia. Ironinya, dia lelaki yang berjaya melembutkan hati saya, sekali gus memberi bimbingan kepada saya untuk jadi lebih matang.

"Selama mengenalinya, dia berjaya mengubah diri saya," katanya yang diraikan pada majlis berinai bertemakan Aloha anjuran Datin Umie Aida dan Erma Fatima, malam semalam.

Nabila memberitahu, majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung sederhana sekalipun ramai yang menjangka hari bersejarah itu akan diraikan secara besar-besaran.


NABILA menunjukkan inai yang dipakai.

"Kami hanya akan bernikah di masjid. Memang tidak akan ada majlis resepsi di dewan besar atau hotel.

"Cuma, Sabtu ini akan diadakan majlis makan makan di rumah Izwan di Shah Alam," kata Nabila yang akan menggayakan rekaan Alia Bastaman selain menerima sentuhan jurusolek kesayangan, Bosco Ryzarl pada hari bersejarahnya itu.

Ditanya mengenai penerimaan anaknya, Keisha Laila terhadap bakal suaminya itu, Nabila berkata, anak tunggalnya itu menjadi antara insan yang tidak boleh menerima hakikat dia akan berkahwin.

Nabila berkata, kelakuan Keisha agak aneh dan penuh 'drama' sejak mendapat tahu perkhabaran mereka akan berkahwin.


NABILA bersama anaknya, Keisha Laila. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Baginya, bakal suami saya itu adalah kekasihnya. Cuma Keisha akur kekasihnya memilih saya, bukannya dia.

"Emosi Keisha memang tak stabil ketika ini. Dia sebenarnya memang 'jiwa kacau'," seloroh Nabila mengenai gelagat anak kesayangannya itu.

Nabila sebelum ini pernah berkahwin dengan Zaidi Zailani pada Disember 2008. Mereka bercerai tiga tahun kemudian.

Berita Harian X