Jumaat, 25 Disember 2015 | 12:16am
PENDUDUK menunjukkan keadaan aliran air yang kelihatan tenang di bahagian hulu Sungai Pampang. - foto Lano Lan
SIMPANG masuk ke Kampung Limbawan dari pekan Keningau. - Foto Lano Lan
KESAN hakisan tebing yang disebabkan arus deras Sungai Pampang ketika dilanda Ribut Tropika Greg pada 26 Disember 1996 masih dapat dilihat di Kampung Bulu Silou, Keningau. - Foto Lano Lan
JAMBATAN Sungai Pampang yang menghubungkan pekan Keningau dengan Tenom di Kampung Limbawan tidak terjejas walaupun dilimpahi banjir lumpur Ribut Tropika Greg pada 26 Disember 1996. - Foto Lano Lan
ANTARA koleksi gambar lama kesan kemusnahan Ribut Tropika Greg yang masih ada dalam simpanan Razalie. - Foto Lano Lan

Misteri amukan Greg


SUNGAI Pampang yang mengalir tenang di pinggir pekan Keningau, di Sabah, seolah-olah menyembunyikan amukan ganas Ribut Tropika Greg, yang berlaku sehari selepas Krismas, 19 tahun lalu.

Melihat keadaannya hari ini dengan air jernih mengalir perlahan di celah-celah batu, sukar dipercayai ia pernah meragut kira-kira 300 nyawa dalam tempoh hanya beberapa jam akibat limpahan air dan arus deras.

Tragedi hitam awal pagi pada 26 Disember 1996 itu tidak sempat dielak penghuni rumah berhampiran tebing Sungai Pampang, dengan kebanyakan mereka masih tidur. Tiada siapa yang dapat menduga, rumah yang dianggap kukuh, hanyut sekelip mata.

Hari ini, hanya saiz yang membezakan keadaan Sungai Pampang, dengan lebar 10 meter hingga 20 meter berbanding hanya satu meter hingga lima meter sebelum Ribut Tropika Greg.

SUNGAI Pampang di pinggir pekan Keningau mengalir tenang selepas 19 tahun tragedi Ribut Tropika Greg berlalu. Tragedi itu meragut nyawa ratusan penduduk. - Foto Lano Lan

Tiada lagi penempatan di tebing sungai itu, kecuali beberapa rumah atau pondok dibina pekebun yang mengusahakan kebun sayur di kawasan rizab sungai.

Semak-samun dengan rumput panjang dan rumpun buluh memenuhi tebing Sungai Pampang, selain sampah-sarap dan sisa kumbahan di bahagian hilirnya.

Pada 26 Disember 1996, kira-kira jam 4 pagi, air Sungai Pampang melimpahi tebing dan mengalir deras bersama lumpur serta batang kayu balak yang dihanyutkan dari hulu sungai di Banjaran Crocker.

Aliran air bercampur lumpur dan kayu balak yang kuat meranapkan apa saja yang berada di sepanjang tebing Sungai Pampang, termasuk rumah dan kenderaan serta binaan lain seperti jambatan gantung.

Antara kampung yang terjejas di sepanjang Sungai Pampang ialah Kampung Bulu Silou, Pampang, Motou, Agudon, Masak, Contoh, penempatan masyarakat Toraja, Indonesia; Kampung Masjid dan Limbawan.

Hanya jambatan Sungai Pampang berhampiran Kampung Limbawan, yang menghubungkan pekan ini dengan Tenom tidak terjejas dan masih kukuh hingga hari ini.

Bekas penduduk Kampung Bulu Silou, John Sibiew, 57, berkata paras Sungai Pampang ketika tragedi itu dianggarkan lebih empat meter kerana hampir menenggelamkan rumah dua tingkat milik keluarganya sebelum ia dihanyutkan arus.

"Sebelum Ribut Tropika Greg melanda, Sungai Pampang hanyalah sebuah anak sungai dan tiada siapa menyangka ia boleh membawa aliran air yang amat deras dan menghanyutkan rumah serta apa saja berhampiran tebing sungai.

"Ketika itu, kebanyakan penduduk tempatan yang mendirikan rumah berhampiran Sungai Pampang tiada di rumah kerana balik kampung merayakan Krismas...yang tinggal ketika itu hanyalah warga Indonesia yang bekerja di sini," katanya.

Bagi yang tiada di rumah ketika kejadian, termasuk John, tiada ungkapan dianggap lebih berharga selain bersyukur kerana terhindar daripada menjadi mangsa bencana itu.

ANTARA koleksi gambar lama yang menunjukkan kesan kemusnahan akibat Ribut Tropika Greg. - Foto Lano Lan

Beliau yang kini menetap di Kampung Baginda, di sini, berkata persoalan dari mana air yang terlalu banyak hingga melimpahi tebing Sungai Pampang, seperti ditimpa empangan pecah, masih menjadi misteri.

"Ada cerita tersebar ketika itu, kononnya beberapa hari sebelum kejadian, ada orang tua datang ke sebuah rumah berhampiran Sungai Pampang yang sedang mengadakan keramaian untuk meminta air, namun penghuninya tidak mengendahkannya, malah mengejeknya pula.

"Orang tua itu kemudian menjawab akan memberikan air yang banyak jika benar penghuni di rumah itu tiada air. Maka, terjadilah limpahan air yang sangat banyak di Sungai Pampang hingga menyebabkan banyak kerosakan dan kehilangan nyawa," katanya.

Berdasarkan pemantauan di hulu Sungai Pampang di Banjaran Crocker selepas kejadian, ada kesan takungan air di tanah tinggi itu akibat hujan berterusan berikutan pembentukan siklon tropika di Laut China Selatan, kemudian dikenali sebagai Ribut Tropika Greg.

Hujan berterusan beberapa hari sebelum kejadian menyebabkan jumlah air bertakung di kawasan terbabit bertambah sebelum `pecah' dan melimpahi Sungai Pampang pada 26 Disember 1996 dan surut kira-kira empat jam kemudian.

Banyak nyawa terkorban dalam tragedi ini dan ratusan penduduk juga dikatakan masih tidak ditemui sehingga kini. Penduduk percaya, perkampungan yang terbabit juga menjadi kubur yang tidak bertanda. Ikuti kisah seterusnya, Ahad ini.

Berita Harian X