Jumaat, 25 Disember 2015 | 8:00am

Hassan Sani, James Wong curah bakti bersama Sabah


HASSAN Sani (kiri) dan James Wong bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (tengah). Kedua lagenda bolasepak negara itu bersetuju menjadi Penolong Pengurus Pasukan Sabah dan mencurahkan khidmat, tunjuk ajar dan pengalaman serta suntikan semangat kepada pasukan bolasepak Sabah untuk persiapan musim akan datang. - Foto ihsan http://sabahup2date.blogspot.my/

KOTA KINABALU: Bekas legenda bola sepak Sabah, Hassan Sani, yang bakal dilantik sebagai penolong pengurus pasukan Sabah menetapkan sasaran untuk mengembalikan kegemilangan skuad Badak dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Hassan, 57, berkata beliau bersama James Wong, 62, yang turut ditawarkan jawatan sama ketika perjumpaan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, baru-baru ini, sedia memikul tugas itu untuk memastikan Sabah kembali beraksi di Liga Super.

Katanya, mereka kini hanya menunggu pelantikan rasmi jawatan berkenaan yang dijangka dilakukan selepas sambutan Krismas.

"Saya dan James Wong menerima tawaran itu dengan misi untuk membantu Sabah bangkit dalam persaingan Liga Perdana tahun depan seterusnya layak ke saingan Liga Super.

"Kami berterima kasih kepada Ketua Menteri merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang menawarkan jawatan ini," katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.

SAFA sebelum ini turut mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sebagai pengurus baharu Sabah.

Musa menerusi kenyataannya di Facebook beliau baru-baru ini, berkata Hassan dan James bersetuju menjadi penolong pengurus Sabah selain sanggup mencurahkan khidmat, tunjuk ajar dan pengalaman selain suntikan semangat kepada barisan skuad Badak.

Hassan dan Wong adalah dua pemain legenda dari Sabah yang pernah menyertai skuad negara pada era 1970-an dan 1980-an, masing-masing terkenal dengan jolokan `Lipas Kudung' dan `King James'.

Difahamkan, butiran lanjut berkaitan pelantikan mereka sedang diperincikan SAFA dan dijangka selesai beberapa hari lagi.

Hassan berkata, sebagai penolong pengurus, tugas mereka adalah memantau prestasi pasukan, termasuk sesi latihan pemain.

"Saya berharap pemain dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam saingan Liga Perdana musim depan. Kami akan buat yang terbaik demi menaikkan semula nama Sabah sama seperti kegemilangan yang pernah kami kecapi dulu," katanya.


RAKAMAN pasukan Malaysia di zaman kemuncak pada malam bersejarah 6 haribulan April 1980, apabila pemain sayap lincah, Hassan Sani melepasi dua pemain pertahanan Korea lantas melorongkan bola kepada James Wong lalu menyumbat gol kemenangan yang melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik Moscow.

Berita Harian X