Sabtu, 26 Disember 2015 | 10:35pm

Majlis resepsi sederhana, Nabila elak pembaziran

PELAKON, Nabila Huda.

SHAH ALAM: Pelakon Nabila Huda, 31, memilih majlis resepsi serba sederhana untuk perkahwinan keduanya bersama Mohd Izwan Johar, 32, bagi mengelakkan pembaziran.

Anak kepada vokalis Search itu berkata, beliau sekadar ingin meraikan saat bahagianya bersama keluarga dan teman rapat

"Tak perlu belanja banyak untuk majlis besar-besaran. Saya seorang yang ringkas, cukup dengan majlis yang sederhana.

"Apa yang lebih penting, saya ingin keluarga dan mereka yang rapat dalam hidup saya bersama-sama meraikan detik bersejarah ini," katanya kepada BH Online.

Pelakon drama rantaian Teduhan Kasih itu bersyukur, anak perempuannya, Keisha Laila, 5, merestui ikatan cinta mereka.

Nabila juga selesa kerana anaknya itu begitu rapat dengan suaminya, sehingga seperti kecewa apabila mendapat tahu mereka akan berkahwin.

"Bukan kerana dia tidak gembira, sebaliknya Keisha menganggap saya cuba 'merampas' teman lelakinya.

"Tidak mahu Keisha bersedih, saya memberikan idea kepada suami untuk turut menyarungkan cincin kepadanya selepas kami diijabkabulkan semalam.

"Saya perlu menjaga hatinya dan tidak mahu dia merajuk. Alhamdulillah dia begitu gembira selepas disarungkan cincin," katanya ketawa.

Terdahulu, pasangan itu disahkan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang disempurnakan bapa Nabila, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy di Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pada jam 9.20 pagi semalam.

Nabila dan Mohd Izwan mula menyulam hubungan cinta dua tahun lalu selepas diperkenalkan oleh sahabat mereka.

Berita Harian X