Ahad, 27 Disember 2015 | 8:53pm

MB minta SPRM siasat ketirisan ops bauksit

DATUK Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengadakan lawatan kerja ke Felda Neram 1 di Chukai, hari ini. - Foto BERNAMA

CHUKAI: Menteri Besar minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan ketirisan dalam kalangan agensi penguat kuasa bauksit di negeri ini.

Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, walaupun banyak penguatkuasaan dilakukan terhadap operasi perlombongan dan pengangkutan bauksit, masalah berkaitan perlombongan itu masih lagi berlarutan.

"Malah, ada beberapa tempat simpanan sementara bauksit dikesan, di atas tanah milik kerajan negeri.

"Saya hairan apabila penguatkuasaan dilakukan 24 jam namun masalah ini tak dapat diselesaikan.

"Kita tak pernah benarkan perlombongan bauksit di Terengganu. Mengapa tindakan tidak diambil oleh pegawai? Adakah mereka cuai dalam melakukan tugas penguatkuasaan?" katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Felda Neram 1 yang terjejas teruk akibat aktiviti bauksit, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Razif berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan penguatkuasa yang tidak ada integriti dan menjadi tali barut pengusaha bauksit.

"Saya minta SPRM siasat serta tangkap mana-mana pegawai atau penguatkuasa yang terbabit ," katanya.

Beliau berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan jika berlaku ketirisan maklumat operasi dan integriti penguatkuasa sama ada yang disogok wang oleh pengusaha bauksit.

"Kita tak boleh nak dakwa dan menahan pemandu lori bauksit jika mereka berada atas tanah persendirian, tetapi apabila kita lakukan operasi, mereka seakan dah tahu dan mereka tak keluar dari tanah milik mereka," katanya.

Ahmad Razif juga mahu Konsortium Perkapalan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) di bawah Terengganu Incorporated merujuk penasihat undang-undang bagi menghentikan operasi mengeksport bauksit dari Pelabuhan Kemaman.

"Saya minta KPKSB dan Terengganu Incorporated dapatkan nasihat undang-undang. Kalau boleh, esok pun kita nak tutup aktiviti bauksit melalui pelabuhan ini sebab ia menyusahkan banyak pihak terutama penduduk di daerah ini.

"Saya juga mahu Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu menghantar surat bantahan kepada PTG Pahang yang mengeluarkan surat membenarkan pengusaha bauksit melalui jalan di Felda Neram dari Bukit Goh, Pahang.

"Kita difahamkan ada satu surat dikeluarkan PTG Pahang yang membenarkan penguasaha bauksit ini melalui jalan berkenaan," katanya.

Beliau minta penguatkuasaan dan operasi bersepadu terus dilakukan oleh pihak berkuasa terutama polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

"Sekarang ini, kita difahamkan Kerajaan Pusat melalui keputusan Kabinet sudah keluarkan surat penangguhan terhadap pengusaha bauksit di Pahang selama tiga bulan bagi mengkaji semula sama ada perlombongan bauksit dibenarkan atau dihentikan," katanya.

Berita Harian X