Isnin, 28 Disember 2015 | 10:25am

Gitaris Bunkface bernikah Sabtu ini

PAAN dan bakal isteriny, Nurul Aqilah. - Foto NSTP
PAAN dan bakal isteriny, Nurul Aqilah. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Selepas vokalis Bunkface, Sam bernikah dengan Aida Azira Husin, April lalu kini tiba giliran gitaris utama kumpulan itu, Ahmad Farhan Hashim atau Paan melangkah ke gerbang perkahwinan.

Khabarnya jejaka berusia 28 tahun itu akan bernikah dengan gadis dikenali sebagai Nurul Aqilah Azlan, 26, di Zamzam Grand Ballroom, Shah Alam, Sabtu ini.

Majlis resepsi mereka dijangka diadakan di lokasi sama, keesokannya.

Dengar cerita, bakal isteri Paan mengusahakan perniagaan kafe bijirin, Like.Seriously di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Berkongsi berita gembira itu dengan BH Online, Paan mengaku mula mengenali Aqilah sejak tahun 2006.

"Kami berjumpa di pertandingan Battle Of The Band yang dianjurkan teman Aqilah di Bukit Jelutong, Shah Alam.

"Pertemuan kami dipermudahkan. Saya menghampirinya dan hendak dijadikan cerita, dia membalas perkenalan saya.

"Selama mengenali Aqilah, dia sangat memahami saya dan kerjaya saya. Dia kenal saya sejak zaman saya tak ada apa-apa hinggalah bersama Bunkface," katanya.

Paan berkata, mereka bertunang pada hari ketiga Syawal lalu dan mula membuat perancangan untuk bernikah sejak enam bulan lalu.

"Alhamdulillah, jodoh itu panjang. Perasaan nak kahwin makin bercambah selepas ramai kawan saya di Klang berkahwin.

"Ini juga atas permintaan dan kehendak keluarga," katanya.

Mengenai kerjaya seninya selepas berstatus suami, Paan memberitahu, tiada apa yang berubah malah dia dan rakan-rakan band sibuk membuat persiapan untuk muncul di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 (AJL30) mempertaruhkan lagu Malam Ini Kita Punya pada 24 Januari depan.

"Selepas single Darah Muda, kami akan mempromosikan lagu tema filem animasi Boboiboy berjudul Masih Di Sini dan versi bahasa Inggeris, Until Forever, tidak lama lagi," katanya.

Selain Paan dan Sam, Bunkface turut dianggotai Youk.

Berita Harian X