Isnin, 28 Disember 2015 | 1:50pm

Pemandu lori terlepas hukuman gantung

MUAR: Mahkamah Tinggi di sini membebaskan seorang pemandu lori atas tuduhan mengedar 19.47 gram heroin 19.47 gram dan 1.31 gram syabu, tiga tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwa.

Tertuduh, Anuar Muniran, 40, dituduh mengedar heroin itu di sebuah rumah di Jalan Bahagia 5, Taman Bahagia, Batu Pahat dekat sini kira-kira jam 5.40 petang, 30 Januari 2013.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Bagi tuduhan kedua, dia dituduh memiliki syabu itu di alamat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal, manakala tertuduh diwakili peguam bela, G Visvanathan Nair.

Berita Harian X