Isnin, 28 Disember 2015 | 4:03pm

Ogy hampir tolak tawaran berlakon Langit Cinta


PELAKON, Fauziah Datuk Ahmad Daud bersama permata hati, Nuraminah Aishah yang kini sudah berusia lapan tahun. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Bagai menatang minyak yang penuh, hati siapa yang tidak risau apabila si manja yang selama ini dibelai dengan penuh kasih sayang, jatuh sakit.

Begitulah yang dirasai bintang disegani, Fauziah Datuk Ahmad Daud apabila permata hati, Nuraminah Aishah yang kini sudah berusia lapan tahun, disyaki menghidap demam denggi ketika penggambaran filem Langit Cinta bermula.

Dek masalah kesihatan anaknya itu, Fauziah atau lebih mesra dipanggil Ogy jadi tidak keruan hingga hampir menolak tawaran berlakon dalam filem Langit Cinta arahan Osman Ali yang bakal menemui penonton mulai 7 Januari ini.

Mengaku hidupnya tidak pernah kosong sejak kehadiran Nuraminah, Fauziah selesa menjalani hidup sendirian dan menguruskan semua keperluan Nuraminah yang dipeliharanya sejak kecil.

"Saya tak terlalu memikirkan soal hati. Ini kerana hidup saya terisi denga kehadiran Nuraminah.

"Selain itu, kesibukan kerja juga membuat saya lupa semua perkara itu," katanya kepada BH Online.

Bercerita lanjut bagaimana dirinya hampir tidak dapat berlakon dalam filem Langit Cinta, Fauziah berkata, selepas keadaan kesihatan Nuraminah pulih serta diyakinkan Osman, baharulah dia pergi ke lokasi penggambaran di Pulau Tuba, Langkawi.

Kali pertama berlakon di bawah arahan Osman, Fauziah teruja diberi mandat untuk membimbing pelakon lain yang turut sama terbabit dalam projek itu antaranya Nur Fazura, Keith Foo dan Farid Kamil.

"Selepas membaca naskhah Langit Cinta yang ditulis sendiri pengarahnya, saya boleh sifatkan Osman pandai bermain dengan metafora yang digambarkan menerusi bahasa filem.

"Lebih manis saya juga berbangga dapat menjadi sebahagian daripada mereka yang terbabit dalam filem ini. Saya harap Osman akan terus menulis skrip filem begini," katanya.

Fauziah berkata, hasil bimbingannya, dia gembira Fazura akhirnya dapat 'lari' daripada watak yang dilakonkan dalam filem terdahulu melalui Langit Cinta.

Berita Harian X