Sabtu, 11 Oktober 2014 | 4:50am

Bayang-bayang kerajaan satu kaum

Hari Rabu Kunta Kinte minum teh dengan beberapa orang penggiat dan pengikut media sosial. Ada yang Kunta Kinte sudah kenal, ada yang pernah jumpa tapi ingat-ingat lupa dan ada yang jumpa kali pertama.

Sekarang ini di mana pun orang kita berjumpa, soal politik dan ekonomi jadi bahan percakapan. Semua mereka lebih muda daripada Kunta Kinte. Jadi Kunta Kinte tanya mereka, pada pendapat mereka ke arah manakah politik dan pemerintahan negara sedang menghala?

Banyaklah teori, andaian dan kesimpulan dibagi. Tapi Kunta Kinte tertarik dengan pendapat peserta wanita keturunan Baba. Dalam bahasa Inggeris, dia kata pemerintahan "mono ethnic and mono religious".

Dalam bahasa Melayu, pemerintahan satu kaum dan satu agama. Kunta Kinte tanya apa yang dia maksudkan. Dia kata, pemerintahan oleh orang Melayu dan orang Islam.

Tak pula terlintas di fikiran Kunta Kinte yang hal macam itu boleh berlaku dan boleh diterima oleh masyarakat pelbagai bangsa dan agama di negara kita. Boleh jadi fikiran Kunta Kinte terlalu dipengaruhi oleh pengalaman yang lama dengan politik pakatan kaum tajaan Perikatan dan Barisan Nasional.

Dia kata, cuba tengok di Perak. Daripada 31 Ahli Dewan Undangan (ADUN) BN, hanya seorang saja orang bukan Melayu dan bukan Islam. Bila Kunta Kinte buat carian Internet, menang betul iaitu ADUN MCA Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Kunta Kinte tanya, adakah kebajikan dan kepentingan orang bukan Melayu dan bukan Islam di Perak diabaikan dan mereka tidak puas hati?

Jawapannya taklah pula kita dengar desas desus macam itu. Malah wakil tunggal bukan Melayu dan bukan Islam itu dilantik EXCO. Dia jadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Yang kita semua tahu, orang bukan Melayu dan bukan Islam, khususnya orang Cina, terus kuasai ekonomi dan Perak adalah antara negeri yang orang bukan Melayu dan bukan Islam lebih ramai daripada orang Melayu dan orang Islam.

Tak berasa tertekan

Dalam hubungan ini, Pakatan lebih pelbagai daripada segi bangsa dan agama. Mereka ada wakil Melayu (Islam), Cina dan India. Nampaknya majoriti orang bukan Melayu dan bukan Islam di Perak tak berasa terancam atau tertekan walaupun ada seorang saja wakil bukan Melayu dan bukan Islam dalam kerajaan negeri.

Kunta Kinte tak berani kata sama ada keadaan ini baik atau buruk bagi Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Bolehkah pemerintahan satu bangsa dan satu agama ini jadi aliran di seluruh negara?

Kalau kita tengok kedudukan kerusi Dewan Rakyat lepas Pilihan Raya Umum tahun lepas, ciri-ciri dah pun nampak. BN menang 133 kerusi, Pakatan 89. Daripada 133 kerusi BN, 88 diwakili UMNO. Campur wakil Islam dari Sarawak dan Sabah, majoriti ahli Dewan Rakyat adalah Melayu/Bumiputera dan Islam.

Tapi inilah antara hasil dan kemungkinan bila kita amalkan sistem demokrasi pilihan raya - electoral democracy. Apa-apa pun boleh berlaku dan kita kena terima keputusan undian.

Sejak dua PRU yang lalu - 2008 dan 2013 - inilah aliran yang kita nampak. Majoriti Melayu/Bumiputera dan Islam undi BN. Itu pun tak banyak beza dengan yang undi Pakatan. Majoriti bukan Melayu dan bukan Islam sah undi Pakatan.

Yang jelas, walaupun majoriti pengundi bukan Melayu dan bukan Islam tak sokong BN tapi mereka tak pula dilayan macam anak tiri malah sebaliknya.

Mula-mula sekali, UMNO sebagai parti induk BN, tak tolak atau hukum orang bukan Melayu walaupun mereka tak sokong BN. Yang merajuk tak mahu terima jawatan majlis kerja (EXCO) kerajaan negeri dan Kabinet adalah MCA pasal kalah teruk. Tapi bila MCA ubah pendirian ia cepat-cepat dibagi jawatan exco dan Kabinet.

Ada pengulas kata, inilah yang orang bukan Melayu mahu dan inilah keadaan paling unggul bagi mereka. Mereka ada suara alternatif dalam bentuk Pakatan, khususnya DAP, tetapi ada perwakilan pseudo dalam kerajaan BN.

Kebajikan orang Melayu

Pakatan mendesak bagi pihak mereka dan BN melayan mereka umpama menatang minyak yang penuh. Panas pula tu. Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, dengan menyokong Pakatan tapi ada perwakilan kecil dalam BN mereka dapat apa yang orang putih kata, "the best of both world".

Itulah politik. Kunta Kinte faham kerajaan tak boleh sekali-kali abaikan bangsa dan kaum minoriti. Tapi yang Kunta Kinte sangat-sangat bimbang ialah kebajikan orang Melayu, orang Bumiputera dan orang Islam. Mereka majoriti dan masih sokong BN.

Maaflah kalau Kunta Kinte terpaksa guna ungkapan "masih sokong BN" pasal silap-silap mereka pun tawar hati dan ubah fikiran di masa akan datang.

Pasal itulah Kunta Kinte tak habis-habis bagi ingatan dan amaran jangan sekali-kali abaikan hak dan kepentingan orang Melayu, orang Bumiputra dan orang Islam. Mereka adalah bangsa, kaum dan agama majoriti negara kita.

Kita wajib ingat, kekuatan orang Melayu, orang Bumiputra dan orang Islam dari dulu lagi bukan ekonomi. Kekuatan orang Melayu, anak negeri Sarawak dan Sabah serta orang Islam adalah politik dan perundangan.

Kunta Kinte sokong kita transformasi ekonomi dan kerajaan. Tapi jangan sampai segala bentuk perlindungan, jaminan dan peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan dan dalam buku undang-undang (statute book) kita nak mansuh.

Ingatlah, kalaupun dengan takdir kerajaan satu bangsa dan satu agama jadi kenyataan, orang Melayu, Bumiputera dan Islam masih tak ada cukup suara dalam Parlimen untuk bawa balik undang-undang yang dimansuhkan.

Jadi eloklah kita bertenang dan fikir masak-masak sebelum kita buat keputusan. Tok nenek kita dah pesan. Mereka kata, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Wallahuaklam.

E-mel ke [email protected] untuk berkongsi pendapat anda

Berita Harian X