Selasa, 29 Disember 2015 | 7:26am

Boko Haram bunuh lebih 50 penduduk

MANGSA serangan Boko Haram menerima rawatan di Hospital Maiduguri, Nigeria. - Foto AP

KANO: Lebih 50 dibunuh dalam tempoh 48 jam gelombang serangan yang dipersalahkan ke atas militan Boko Haram di timur laut Nigeria, beberapa hari sebelum tarikh akhir kerajaan menghapuskan kumpulan itu.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari Khamis lalu memberi jaminan menamatkan pemberontakan menjelang 31 Disember ini bahawa kerajaannya secara "teknikal" akan mengalahkan Boko Haram dan mengurangkan keupayaan kumpulan terbabit melancarkan serangan konvensional di negara paling padat penduduk di Afrika itu.

Namun dalam satu tentangan, Boko Haram membalas dengan beberapa siri serangan memusnahkan ke atas bandar di timur laut negara itu, meragut berpuluh nyawa dalam insiden pembunuhan berdarah yang bermula Hari Krismas.

Dengan menunggang basikal, militan menyerbu perkampungan Kimba di Borno, kubu kuat Boko Haram Jumaat lalu, menembak dan membunuh sekurang-kurangnya 14 penduduk sebelum membakar rumah mereka.

Dua hari kemudian, militan melancarkan bom tangan berkuasa roket dan menggunakan sekumpulan kecil tentera pengebom bunuh diri, mengorbankan 22 orang di bandar timur laut utama di Maiduguri, kawasan utama pemberontakan.

"Ada lebih 12 letupan bunuh diri di Maiduguri antara malam tadi (Ahad) dan pagi ini (Isnin). Serangan bunuh diri dijalankan pengebom muda yang berjaya masuk ke dalam bandar ketika pertempuran antara tentera dan militan Boko Haram malam tadi," kata Babakura Kolo, orang awam yang membantu tentera memerangi Boko Haram - AFP

Berita Harian X