Selasa, 29 Disember 2015 | 8:07am

Kapal bawa 11,000 kg uranium tinggalkan Iran

PEGAWAI-PEGAWAI yang mewakili Iran, dan Kesatuan Eropah mengumumkan JCPOA itu pada 14 Julai, 2015.
PEGAWAI-PEGAWAI yang mewakili Iran, dan Kesatuan Eropah mengumumkan JCPOA itu pada 14 Julai, 2015.

WASHINGTON: Sebuah kapal membawa lebih 11,000 kilogram uranium meninggalkan Iran untuk ke Russia semalam dalam langkah negara itu menghormati perjanjian nuklear 14 Julai lalu dengan kuasa besar, kata Amerika Syarikat (AS).

Mengikut perjanjian bersejarah nuklear, sesetengah sekatan AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan dihapuskan sebagai pertukaran buat Iran menerima sekatan jangka panjang ke atas program nuklear yang dianggap Barat menyasarkan menghasilkan bom nuklear.

Satu peruntukan perjanjian, dirunding Iran dengan AS, Britain, China, Perancis, Russia dan Jerman adalah supaya Tehran mengurangkan stok simpanan uranium diperkaya rendah kepada di bawah 300 kg.

Jika diproses lebih lanjut, uranium diperkaya rendah itu boleh menghasilkan bahan membuat senjata nuklear.

Setiausaha Negara AS, John Kerry dalam satu kenyataan bertulis berkata, penghantaran itu termasuk penyingkiran semua bahan nuklear diperkaya Iran kepada 20 peratus yang bukan lagi dalam bentuk plet bahan api siap direka untuk Reaktor Penyelidikan Tehran.

"Penyingkiran semua bahan diperkaya keluar dari Iran adalah langkah penting bagi memenuhi komitmennya untuk tidak menyimpan lebih 300 kg uranium diperkaya rendah menjelang Hari Pelaksanaan," katanya.

Hari Pelaksanaan merujuk kepada tarikh di mana Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berpusat di Vienna, mengesahkan Iran mengambil langkah serius membendung program nuklearnya, memberi laluan kepada penarikan balik sekatan oleh AS, EU dan PBB. - Reuters

Berita Harian X